Panasnya Hari Ini

UMNO Tidak Gentar, Kemunculan Parti Baharu Pimpinan Tun M

KUALA LUMPUR:Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Ab Aziz Kaprawi menegaskan bahawa Barisan Nasional sama sekali tidak gentar dengan kemunculan parti baharu yang mungkin diketuai bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Malah ujarnya, parti baru itu tidak akan memberi kesan kepada Umno kerana hanya “ahli tidak puas hati” seperti bekas pemimpin Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir akan menyertai parti baharu itu untuk meneruskan agenda peribadi mereka.

Terdahulu, Muhyiddin dan Mukhriz dipecat Umno bulan lalu kerana melanggar disiplin parti, manakala Shafie pula memutuskan keluar parti selepas digantung sebagai naib presiden.

“Barisan tidak bimbang tentang parti baharu itu. Kami yakin rakyat akan bersama kami. Kami menguruskan ekonomi dengan baik. Ia adalah negara yang diiktiraf dan progresif,” katanya memetik sumber Freemalaysiatoday.

Beliau mengulas kenyataan bekas Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan bahawa sebuah parti baharu mungkin ditubuhkan dengan diterajui Dr Mahathir yang akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan untuk menjatuhkan BN.

Beliau turut menyifatkan ia sebagai langkah terdesak berkata, Dr Mahathir menganggap dirinya mampu menyatukan parti pembangkang yang didakwanya dalam keadaan kucar-kacir kerana gabungan itu tiada pemimpin kuat.

“Beliau menganggap dirinya bersih berbanding Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.

Tambahnya lagi, Umno juga pernah berdepan dengan keadaan sama di mana ahli yang keluar parti atau dipecat bertindak menubuhkan parti serpihan tanpa arah tuju.

“Parti sedemikian ditubuhkan mereka yang mahu menjaga kepentingan sendiri, bukannya rakyat,” katanya yang hairan kenapa PKR yang pernah dipimpin Anwar mahu bekerjasama dengan Dr Mahathir.

Bekas perdana menteri itu memecat Anwar daripada jawatan nombor dua negara pada 1998 atas dakwaan rasuah dan liwat. Ramai pemimpin dan ahli dalam PKR masih menyalahkan Dr Mahathir atas pemenjaraan Anwar.

“Mereka pernah menjadi musuh ketat. Jadi, siapa yang akan memimpin dan siapa pula akan menurut?” soal Aziz.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak juga yakin parti baharu itu bukan ancaman kepada Umno.

“Tidak kira apa, Umno dan BN akan terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan kami yakin majoriti mereka akan kekal bersama kami.

“Saya tidak nampak kedudukan Umno akan terjejas,” katanya.

Malah jelasnya lagi, bekas Perdana Menteri itu berhak membentuk partinya sendiri dan tindakan itu tidak mengejutkan.

“Beliau berhak berbuat demikian, khasnya dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi,” kata Ahli Majlis Tertinggi Umno itu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");