Isu Panas

Zawawi tak berhasrat bertanding

GUA MUSANG – Ahli Jawatankuasa (AJK) Bahagian Gua Musang, Wan Zawawi Wan Zain berpendapat tiga wakil rakyat antara calon layak menggantikan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah sekiranya ahli parlimen itu memilih untuk berundur pada PRU14.

Menurutnya, tiga calon tersebut adalah Adun Paloh, Datuk Nozula Mat Diah; Adun Galas, Ab Aziz Yusoff dan Adun Nenggiri, Datuk Mat Yusoff Abd Ghani.

Katanya yang juga Pegawai Tugas Khas Kanan Timbalan Pengarah Besar Felda, biarpun fotonya diviralkan di laman sosial, namun Zawawi tidak pernah berhasrat untuk bertanding dalam mana-mana jawatan dalam politik.

“Saya tak tahu siapa yang edit gambar saya. Tapi saya tahu, itu hanyalah jenaka kerana saya tidak pernah berhasrat ke arah itu.

“Saya juga sudah menghubungi Datuk Dr Asyraf Wajdi memaklumkan mengenai hal ini.

“Dari sudut lain, saya lihat, isu ini akan memberi pukulan hebat kepada mereka yang berminat untuk menggantikan Tengku Razaleigh apabila nama Asyraf disebut.

“Walau bagaimanapun, pada pandangan saya, masih terlalu awal untuk membuat analisis,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Terdahulu, Pengarah Pusat Kajian Politik Malaysia Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff mencadangkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki sebagai pengganti Tengku Razaleigh.

Namun, artikel bertajuk Asyraf Wajdi layak ganti Ku Li itu telah digunakan pihak tidak bertanggungjawab dan diubah menjadi ‘Zawawi Chiku layak ganti Ku Li’ bertebaran di laman sosial.

Zawawi berkata, dia tidak menolak ketokohan yang ada pada pemimpin generasi muda di Gua Musang seperti Ketua Penerangan Umno Bahagian, Mohd Syahbuddin Hashim, yang dilihat mampu menjadi pemimpin hebat sekali gus menggantikan tokoh politik negara itu.-SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");