Isu Panas

100,000 belia belum daftar pemilih

SEREMBAN – Seramai 100,000 belia di negeri ini didapati belum mendaftar sebagai pemilih walaupun sudah mencecah usia 21 tahun.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, daripada jumlah itu, 39,000 belia berusia antara 22 hingga 25 tahun.

“Terlampau ramai yang belum daftar sebagai pemilih. Apa nak jadi dengan belia? Lepas umur 21 tahun sahaja dah sampai 100,000 orang. Sebelum ini hanya 89,000 sahaja.

“Saya minta semua persatuan belia supaya tengok belia kita, masuk laman web SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) semak belia kita sama ada sudah mendaftar ke belum.

“Kalau belum, ambil salinan kad pengenalan bagi Jasa (Jabatan Hal Ehwal Khas), ketua kampung atau Kemas (Jabatan Kemajuan Masyarakat) minta mereka daftarkan,” katanya.

Mohamad turut meminta persatuan belia di negeri ini segera mendaftarkan ahli mereka sebagai pemilih sebelum 30 September ini.

“Saya nak nombor ini berkurang, pastikan daftar sebelum 30 September sebab ia akan dipamerkan pada Mac tahun depan.

“Saya yakin pilihan raya akan diadakan tahun depan, bukan 2018. Jadi, belia yang cukup umur boleh mengundi untuk memilih kerajaan,” katanya ketika berucap pada Majlis Hi-Tea Menteri Besar bersama Gabungan Majlis Belia Negeri Sembilan, di Klana Resort, di sini, semalam.

Beliau turut melahirkan kebimbangan dengan peningkatan jumlah belia masih belum mendaftar sebagai pemilih, seolah-olah menggambarkan golongan itu tidak faham tentang sistem pentadbiran negara.

“Belia mesti memainkan peranan, mereka bakal jadi pemimpin. Jadi, belia kena faham sistem kenegaraan, kena faham bagaimana kerajaan ditubuhkan melalui peti undi.

“Kalau belia tak ambil bahagian dan tak ambil peduli dalam proses penubuhan kerajaan, jangan marah dan jangan bising sebab kita sendiri tak main peranan,” katanya.

Pada majlis itu, Mohamad menyampaikan sumbangan sebanyak RM 50,000 kepada Gabungan Majlis Belia Negeri Sembilan.

Gabungan membabitkan 26 persatuan itu turut menerima sumbangan sebanyak RM5,000 bagi setiap persatuan sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM180, 000.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");