Berita Hari Ini

600 jemaah haji sokong World #QuranHour

SHAH ALAM – Seramai 600 jemaah haji di bawah kendalian Zahafiz Travel & Tours Sdn Bhd akan turut menyemarakkan program World #QuranHour yang berlangsung sempena hari wukuf, 9 Zulhijjah ini.

Pengerusi Eksekutif Zahafiz Travel, Datuk Seri Zainal Abidin Yusof berkata, mereka akan bersama-sama membaca al-Quran selama sejam di lokasi hot spot World #QuranHour iaitu di Padang Arafah.

“Kita ada slot zikir-zikir yang wajib dan khas untuk jemaah haji. Jadi, di kesempatan itu, kita turut galakkan jemaah untuk membaca al-Quran pada waktu ditetapkan sebagai tanda sokongan kepada World #QuranHour.

“Seperti yang kita tahu, program ini akan berlangsung serentak di seluruh dunia.

“Sudah tentu kelebihan bagi mereka yang berada di Padang Arafah kerana di situ antara tempat yang mustajab untuk berdoa,” katanya kepada Sinar Harian selepas program kursus haji, anjuran Zahafiz Travel di sini, semalam.

Menurut beliau, Zahafiz Travel memberi sokongan sepenuhnya kepada World #QuranHour yang julung kali diadakan itu.

“Al-Quran adalah kalam ALLAH, yang juga mukjizat kepada Nabi Muhammad SAW.

“Maka, sebarang usaha untuk menggalakkan umat Islam berinteraksi dengan al-Quran, tentunya kita perlu sokong,” katanya.

Zainal Abidin memberitahu, program seumpama itu perlu diteruskan bagi memastikan umat Islam terutama golongan muda semakin mendekati al-Quran.

“Sebagai umat Islam, kita tidak boleh pisahkan daripada al-Quran. Amalan membaca al-Quran tidak boleh berhenti di sini sahaja dan perlu diteruskan walaupun selepas jemaah pulang dari Makkah,” katanya.

Sementara itu, Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub berkata, World #QuranHour adalah satu gerakan untuk membawa kesedaran kepada seluruh umat Islam agar menyedari kepentingan memahami, menghayati dan mengamalkan al-Quran.

“Ini kerana, setiap kali kita bercakap mengenai al-Quran adalah membacanya tetapi kita nak orang Islam capai satu tahap lebih tinggi iaitu memahami al-Quran.

“Kalau boleh kita nak masukkan jiwa al-Quran ini ke dalam jiwa setiap insan.

“Jadi World #QuranHour adalah satu simbolik perubahan, di mana orang Islam akan menjadikan al-Quran sebagai panduan dalam setiap aspek kehidupan,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");