Sukan Hari Ini

8 kesalahan!

Kuala Terengganu: Tiga kesilapan besar dan lima kesalahan kecil dilakukan pengadil Khirul Azuan Kidam ketika mengadili perlawanan antara T-Team dengan FELDA United dalam aksi suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah Ahad lalu terkandung dalam laporan bantahan terhadap mutu pengadilan yang dibuat pengurusan The Titans.

Bantahan secara rasmi itu diharap mampu membuka mata Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Kerjasama Liabiliti Bola Sepak Malaysia Berhad (FMLLP) dalam menangani isu ‘lapuk’ berkenaan.

Harapan pengurusan T-Team ialah supaya laporan dan bantahan dikemukakan itu mendapat perhatian badan induk bola sepak negara dan bukannya bersikap lepas tangan.

Ketua Pegawai Operasi T-Team Mohd Syahrizan Mohd Zain berkata, lapan kesalahan yang dilakukan pengadil itu terkandung dalam laporan yang dihantar kepada FAM dan FMLLP untuk diteliti secara telus sekali gus mengelak perkara sama terus berulang.

Beliau berkata, laporan itu sudah dihantar menerusi e-mel kelmarin manakala bantahan secara bertulis dan salinan berbentuk video dihantar semalam.

“Kesalahan dilakukan pengadil itu yang dibantu penjaga garisan Mohd Yusri Mohamad serta Mohd Hariff MD Akhir sangat jelas dan amat mendukacitakan kerana bukan sekali malah sebanyak lapan kali seolah-olah ada sesuatu yang bermain di fikiran pengadil.

“Kesalahan besar pertama pengadil itu yang dihantar kepada FAM dan FMLLP ialah pembatalan jaringan Dilshod Sharafetdinov pada minit ke-70, jaringan FELDA United melalui Francis Forkey Doe yang terlebih dulu menggunakan tangan untuk menahan bola dan penjaga gol The Fighters tidak dikenakan sebarang tindakan biarpun menampan bola di luar kotak penalti pada penghujung babak pertama.

“Selain tiga kesalahan besar itu, kami turut mengemukakan lima kesalahan lain yang sepatutnya tidak dilakukan pengadil profesional,” katanya yang kesal kerana keputusan tidak tepat pengadil jelas mengubah keputusan perlawanan.

Pada aksi yang berkesudahan seri 1-1 itu, The Titans terlebih dulu meledak jaringan menerusi Muhammad Safawi Rasid sebelum disamakan Forkey Doe.

Mengulas lanjut, Syahrizan berkata, sepatutnya Khirul Azuan bukanlah pengadil bertugas pada perlawanan berkenaan sebaliknya tanggungjawab itu perlu dipikul Fitri Maskon tetapi FAM terpaksa membuat perubahan di saat akhir selepas Kelantan menolak Khirul Azuan hingga menyebabkan beliau terpaksa mengadili perlawanan T-Team-FELDA United.

“Justeru, kami berharap FAM mengambil tindakan tegas kepada pengadil itu selain meminta beliau memohon maaf secara terbuka kepada T-Team kerana kesalahan dilakukan bukan sekali dan ia seolah-olah membunuh semangat pemain muda kami,” katanya.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");