Jenayah

Anak menangis selepas ditegur

PASIR MAS – “Sudah tentu saya akan merindui telatah anak sulung sebab dia seorang yang sangat aktif dalam kalangan adik-beradiknya,” luah Siti Raha Ibrahim, 36, ibu kepada pelajar tingkatan satu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tendong, Rozaimi Rosli, 13, yang maut dalam kemalangan di Kampung Perangkap, malam kelmarin.

Siti Raha berkata, pada petang hari kejadian, anaknya itu tiba-tiba menangis selepas ditegur kerana menyakat adik-beradik yang lain.

Menurutnya, walaupun berasa agak pelik dengan tingkah laku Rozaimi, tetapi dia tidak pernah terfikir mengenai musibah yang bakal berlaku.

“Ketika kejadian, Rozaimi dalam perjalanan pulang ke rumah (di Tendong) selepas beli makanan dan kad tambah nilai.
“Difahamkan, motosikal ditungganginya bertembung dengan sebuah kereta. Saya dapat tahu mengenai kemalangan kira-kira jam 9.30 malam selepas diberitahu adik ipar yang datang ke rumah,” katanya.

Menurut Siti Raha, anaknya itu meninggal dunia di tempat kejadian, bagaimanapun hanya suami, Rosli Mat Yunus, 46, pergi ke lokasi dan dia hanya menunggu di rumah.

Katanya lagi, jenazah Rozaimi dikebumikan di Tanah Perkuburan Gertak Serong, kira-kira jam 11 pagi semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Ibrahim Saad mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala, selain patah kaki kanan dan tangan kiri,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");