Berita Hari Ini

Beli kereta mahal tapi ‘hilang’ lepas 90 hari

LABUAN – Menteri Wilayah Persekutuan percaya Jabatan Kastam Diraja Malaysia akan menemui penyelesaian lebih berkesan mengenai peraturan baharu berkaitan kenderaan yang tidak menjelaskan cukai serta had dan larangan melibatkan kedai bebas cukai.

Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata penangguhan selama tiga bulan yang diberi hingga 1 Sept ini untuk melaksanakan peraturan itu bertujuan membolehkan jabatan berkenaan melakukan kajian mendalam untuk menggubal peraturan lebih berkesan, memberi fokus untuk mencari penyelesaian terhadap ketirisan hasil serta memastikan peraturan berkenaan tidak membebankan orang ramai.

“Masalahnya ialah masih terdapat orang tidak bertanggungjawab yang membeli kereta mahal, bukan sahaja di Labuan, tetapi juga di Langkawi, dan membawa kereta itu keluar serta tidak membawanya pulang setelah habis tempoh 90 hari.

“Kami mahu mencari penyelesaian lebih baik, memastikan tidak berlaku ketirisan hasil dan mengatasi masalah rakyat,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Jalan Pintas Kg.Gersik berharga lebih RM20.5 juta di sini, semalam.

Tengku Adnan berkata kementeriannya akan berbincang dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk mencari jalan serta cara menyelesaikan isu itu.

“Kerajaan menanggung kerugian besar (kira-kira RM1 bilion) akibat ketirisan hasil melalui cukai. Seperti yang kita sedia maklum, jumlah kontena minuman keras dan rokok yang masuk ke pulau ini sangat banyak, tapi kenapa kami menghadapi ketirisan hasil. Kami tidak mahu menafikan hak Labuan sebagai pulau bebas cukai,” katanya.

Dewan Perniagaan Cina Labuan dan parti komponen Barisan Nasional (BN) membantah keras peraturan baharu berkenaan, menyifatkannya sebagai dasar yang boleh menyekat kemajuan sektor pelancongan dan ekonomi.

Pada awal Julai, Jabatan Kastam Diraja Labuan mengadakan dialog dengan para peniaga, pengusaha hotel dan dewan perniagaan tentang pelaksanaan peraturan baharu yang dicadang mula dikuatkuasakan pada 1 Ogos.

Peraturan itu antara lain mengenakan sekatan ketat terhadap perbuatan membawa keluar kenderaan berdaftar di Labuan yang tidak dijelaskan cukai, termasuk memerlukan pemiliknya mendapatkan jaminan bank, yang jumlahnya berdasarkan taksiran kastam serta kapasiti enjin.

Peraturan itu juga akan mengehadkan jumlah kedai bebas cukai dan jumlah barang bebas cukai yang dibeli seseorang, manakala mereka yang membelinya perlu direkodkan butiran identiti masing-masing.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");