SEBERANG TAKIR – Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) terpaksa menanggung kerugian lebih RM1, 000 sebulan untuk menggantikan pelbagai peralatan yang rosak serta dicuri di tandas awam Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) akibat perbuatan vandalisme.
Pengarahnya, Dr Mohammad Omar berkata, kurang kesedaran sivik dalam kalangan masyarakat merupakan antara faktor yang menyebabkan kemudahan awam itu menjadi sasaran golongan tidak bertanggungjawab.
“Kita sememangnya kesal dengan apa yang sedang berlaku membabitkan tandas awam di HSNZ ini, di mana walaupun kita mempunyai kontraktor yang melakukan kerja-kerja penyelenggaraan, namun kejadian vandalisme atau merosakkan harta benda awam ini masih lagi berlaku.
“Keadaan ini bukan sahaja mengganggu keselesaan pengunjung yang lain, malah kerugian yang ditanggung begitu banyak bagi menggantikan pelbagai peralatan yang dicuri seperti pili paip, pewangi, hiasan dan sebagainya, di samping kerosakan yang lain.
“Jadi, sudah tibanya masanya untuk kita membuka mata semua pihak terutamanya pengunjung yang tidak kurang 3, 000 orang setiap hari yang berurusan di HSNZ kerana kesan daripada perbuatan tidak bertanggungjawab itu kembali kepada mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita sebaik selesai menyempurnakan Majlis Pelancaran Pengibaran Bendera Sempena Sambutan Kemerdekaan JKNT di Klinik Kesihatan Seberang Takir, di sini, semalam.
Menurut Mohammad lagi, sekiranya perbuatan vandalisme itu tidak dibendung dengan segera ia akan terus menjejaskan usaha untuk menjayakan kempen penarafan tandas awam di premis kesihatan di seluruh negeri ini.
“Oleh itu, kita berharap agar pengunjung lebih bertanggungjawab dan sama-sama memastikan kemudahan awam untuk keselesaan bersama itu terus terpelihara,” katanya.-sinar harian