Sukan Hari Ini

Biarpun tewas, Irfan puji semangat The Fighters

PENGENDALI pasukan The Fighters, Irfan Bakti berpuas hati dengan semangat juang yang dipamerkan oleh anak buahnya walaupun misi untuk membenamkan Harimau Selatan dalam saingan Liga Super di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka malam tadi tidak kesampaian.

Meskipun tewas 2-3, beliau tetap berbangga kerana skuad kendaliannya berupaya melangkah ke saingan Piala AFC musim depan.

“Mereka telah bermati-matian untuk menyamakan keputusan selepas dua kali ketinggalan, tetapi mereka kurang bernasib baik untuk mencatat kemenangan.

“Sudah pasti kami berasa agak kecewa dengan keputusan ini, namun secara keseluruhan kita berjaya memberikan cabaran sengit kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) sebelum mereka berjaya mencatat kemenangan tipis,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Irfan Bakti berkata senario yang merencatkan rentak skuad The Fighters bermula pada babak kedua perlawanan apabila pasukan mereka terpaksa bermain dengan 10 orang selepas Nor Fazly Alias dikenakan kad merah pada minit ke-58.

Beliau berkata, ketiadaan pemain itu di dalam padang mengakibatkan mereka sukar untuk bertahan dengan baik selepas melancarkan serangan ke arah kubu lawan.

Sementara itu, Ketua Jurulatih JDT, Mario Gomez berkata beliau amat gembira dengan tiga mata yang diperoleh pasukannya.

“Tiga mata yang dikutip pada malam ini amat penting buat kami dalam menjarakkan kedudukan untuk terus mengungguli carta Liga Super,” katanya.

Beliau berkata kini pasukan Harimau Selatan itu begitu hampir dalam mengesahkan mereka sebagai juara Liga Super buat kali ketiga berturut-turut.

Pada perlawanan malam tadi, beberapa insiden panas berlaku antaranya Gomez bertindak masuk ke dalam padang bagi memprotes beberapa keputusan pengadil selepas tamat separuh masa pertama.

Selain itu, permainan juga terpaksa dihentikan beberapa minit di separuh masa kedua ekoran segelintir penonton membaling botol minuman kepada pemain JDT, Mohd Aidil Zafuan Abd Razak yang berada di tepi padang. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");