Berita Hari Ini

Bidang pertumbuhan baharu di Malaysia

JAKARTA – Malaysia telah mengenal pasti pengurusan harta Islam sebagai satu bidang pertumbuhan baharu pada masa hadapan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, di sini, hari ini.

Negara juga berharapkan peluang untuk bekerjasama dengan negara-negara lain, serta industri dan ahli akademik untuk mengembangkan hubungan antarabangsa, memantapkan tenaga kerja dan keupayaan dan mengembangkankan pasaran modal Islam global bagi manfaat semua, katanya.

Kewangan Islam, katanya, semakin mendapat tarikan bukan sahaja di negara-negara majoriti penganut Islam tetapi juga di pusat kewangan antarabangsa seperti London dan Hong Kong.

“Semakin ramai orang menyedari ia boleh menjadi model bagi pelaburan yang bertanggungjawab dan mampan dan merupakan cara yang lebih selamat untuk menyokong sistem kewangan dunia,” katanya dalam ucapan khas beliau pada majlis pembukaan Forum Ekonomi Islam Dunia Ke-12 IWIEF) di sini.

Forum itu yang bertemakan “Decentralising Growth, Empowering Future Business” (Mengagihkan Pertumbuhan, Memperkasakan Perniagaan Masa Depan), dirasmikan oleh Presiden Indonesia Joko Widodo. Turut hadir ialah Pengerusi Yayasan WIEF, Tun Musa Hitam.

Menyebut contoh, Najib, yang juga Menteri Kewangan berkata pasaran modal Islam Malaysia yang bernilai RM1.7 trilion meningkat lebih tiga kali ganda dari segi saiznya dalam tempoh 10 tahun lepas dan sedang mengukuhkan statusnya sebagai destinasi utama bagi perniagaan dan urus niaga patuh Syariah.

Malaysia terus menjadi peneraju global dalam pasaran sukuk, menguasai 54.3 peratus daripada jumlah sukuk global pada akhir 2015, manakala jumlah aset di bawah pengurusan industri pengurusan dana Islam negara kekal yang kedua terbesar di dunia.

“Sukacita ingin saya katakan bahawa di Malaysia, sejak 2009 kami telah mewujudkan 1.8 juta pekerjaan, meningkatkan Pendapatan Negara Kasar sebanyak hampir 50 peratus, mengekalkan inflasi pada kadar rendah dan meningkatkan pelaburan langsung asing (FDI) ke paras tertinggi,” katanya.

Beliau menjelaskan program transformasi negara telah membantu Malaysia kekal berdaya tahan semasa kegawatan kewangan global dan negara terus mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang baik meskipun penurunan harga minyak dan komoditi.

Perdana Menteri turut berkata dalam keadaan ekonomi Islam global yang sedang berkembang maju, orang Islam menjadi giat melibatkan diri sebagai pelabur dan pengeluar, peniaga dan pemilik bank, pesaing dan pembekal.

“Perbelanjaan pengguna Islam juga semakin tinggi apabila permintaan meningkat bagi perkhidmatan kewangan, pelaburan dan insurans yang beretika, makanan halal, fesyen sederhana dan pelancongan halal.

“Malahan orang bukan Islam juga tertarik dengan ciri-ciri asas ekonomi Islam yang prihatin dari segi sosial,” katanya.

Menurut laporan baru-baru ini, ekonomi Islam dunia berkembang hampir dua kali ganda kadar global pada 2014/2015, dan perbelanjaan pengguna Islam dijangka mencecah US$2.6 trilion pada 2020.

Forum yang berlangsung selama tiga hari itu akan menumpukan kepada isu-isu, antara lainnya, sukuk, pembangunan prasarana, industri halal, pemerkasaan wanita dan teknologi yang menimbulkan gangguan.

“Kita inginkan dunia yang menyertakan semua warga kita, dan berkongsi hasil pertumbuhan dengan semua.

“Dunia yang mendidik semua anak-anak kita; dunia yang menyokong semua usahawan dan perniagaan kecil dan sederhana kita; dunia yang memberi ganjaran bagi pengetahuan dan inovasi; dan dunia yang menghargai bahawa kepelbagaian kita adalah kegembiraan dan kekuatan kita,” katanya mengakhiri ucapan beliau.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");