Membawang Hari Ini

Coretan kerjaya Sharnaaz

TIDAK hanya mencanai bakat sebagai pelakon, Sharnaaz Ahmad terus gigih berusaha demi memperkukuhkan portfolio seninya dalam industri hiburan tempatan.

Buktinya, karier bintang filem Dollah Superstar ini semakin berkembang bermula sebagai pelakon, pengarah, penerbit seterusnya pengacara selepas hampir lapan tahun menghiasi laman seni.

Seiring dengan kerjayanya yang bergerak ‘maju’, selebriti berusia 31 tahun ini juga tidak ketinggalan dengan pelbagai cerita kontroversi.

Pun begitu, pemilik nama penuh Sharnaaz Basir Ahmad ini mengakui setiap pengalaman yang dilaluinya itu membantu mendewasakannya.

“Setiap apa yang saya lalui, memberi pengalaman berharga buat diri saya.

“Pelbagai dugaan saya perlu hadapi, namun ia juga mengajar dan mendidik saya

“Lagipun, usia pun sudah meningkat, sedikit sebanyak saya juga semakin matang,” katanya kepada Zass ketika ditemui selepas pelantikannya sebagai duta produk rangkaian pembersih muka Men’s Biore Double Scrub.

Natijahnya, nama Sharnaaz sering dilabelkan sebagai lelaki ‘ganas’ bahkan lebih dikenali dengan sikap panas baran.

“Bagi saya, biarlah apa sahaja orang mahu bercakap tentang diri saya.

“Hanya mereka yang betul-betul mengenali saya, akan tahu bagaimana hati budi saya.

“Sikap (panas baran) saya jadi begitu hanya kerana mahu melindungi orang yang tersayang di sekeliling saya,” katanya.

Mewarisi sikap itu daripada datuk, bapa dan abangnya, Sharnaaz bagaimanapun sentiasa berusaha untuk mengubahnya, seterusnya menjadi individu yang lebih sabar serta tidak mudah marah.

Pada masa sama, pelakon filem Darah Panas ini juga sering mendapatkan nasihat daripada ahli keluarga yang lain.

Jadi duta Men’s Biore Double Scrub

Bercakap mengenai kariernya pula, Sharnaaz mengakui masih belum berpuas hati.

Bahkan, pelakon drama bersiri Bukan Kerana Aku Tak Cinta ini turut menganggap dirinya masih di dalam proses pembelajaran.

“Alhamdulillah, perjalanan karier saya terus positif dan hampir semua cabang seni saya sudah cuba.

“Jujurnya, saya masih lagi belajar dan akan terus mencuba untuk memperbaiki sama ada mutu lakonan, pengarahan mahupun pengacaraan.

“Apa yang saya mahukan adalah masa, ruang dan peluang dalam menonjolkan bakat,” katanya.

Tidak hanya terlibat dalam bidang seni, bintang filem Juvana ini turut berjinak-jinak dalam bidang perniagaan apabila mengusahakan pusat kecergasan, sejak setahun lalu.

Rezeki pelakon drama Suamiku Encik Sotong ini juga dilihat semakin murah sementelah lagi baru sahaja dilantik sebagai duta produk rangkaian pembersih muka, Men’s Biore Double Scrub, selama dua tahun.

Menurutnya, tawaran sebagai duta diterima lantaran berpuas hati dengan keberkesanan produk tersebut selepas mencuba sendiri selama tujuh bulan.

“Ternyata ia bukanlah satu usaha yang sia-sia apabila saya merasai sendiri perubahan positif pada kulit wajah.

“Setelah hampir lapan tahun dalam industri, ini adalah tawaran pertama buat saya menggalas tanggungjawab sebagai duta produk. Saya akui cukup teruja dan gembira.

“Insya-ALLAH, saya akan berusaha gigih untuk menjayakan kempen sebaik mungkin,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Sharnaaz sibuk menjalani penggambaran telefilem Yang Terakhir Untuk Ku arahan Azmi Hatta bagi slot Cerekarama di TV3.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");