Membawang Hari Ini

Darling selesa di belakang tabir

Pelakon yang kini aktif dalam bidang penerbitan drama, Darling Ngasri mengakui semakin selesa bekerja di belakang tabir.

Malah, Darling atau nama sebenarnya Nasreen Ngasri perlu berfikir banyak kali sekiranya mahu kembali ke dunia lakonan.

“Buat masa sekarang inilah pilihan saya iaitu aktif sebagai penerbit. Sudah 13 tahun saya terbabit dalam bidang ini, jadi tidak ada apa yang menyusahkan, sebaliknya saya berasa semakin selesa. Memang ramai bertanya kenapa saya tidak mahu berlakon. Bukan tidak mahu, tetapi masa tidak mengizinkan.

“Bagi saya berlakon memerlukan komitmen yang tinggi. Pada masa sama banyak perkara perlu dititikberatkan terutama dari segi jiwa dan penyampaian lakonan. Saya pula jenis yang suka memikirkan perkara lain kalau berlakon. Pendek kata saya tak fokus,” katanya.

Menurut Darling, sejak berehat daripada bidang lakonan lima tahun lalu dia tidak putus menerima tawaran berlakon daripada rakan produksi lain.

Namun, Darling yang memahami kemampuan dirinya menolak dengan cara baik kerana tidak mahu menyusahkan pihak terbabit.

“Saya tidak mahu mengatakan berhenti daripada berlakon sebab kita tak tahu pada masa akan datang situasinya macam mana. Cuma buat masa sekarang belum lagi. Kalau betul mahu kembali dalam bidang ini, saya perlu mempersiapkan diri,” katanya.

Berkongsi mengenai anak pula, Darling teringin untuk menambah cahaya mata selepas anak sulungnya, Nur Nashrullah Nur Azlin kini berusia lima tahun.

Sambil bergurau, Darling mahu berguru dengan adiknya, Anne yang sudah memiliki empat anak.

“Siapa tidak mahu tambah anak, cuma belum ada rezeki. Saya dan suami tak pernah merancang. Mungkin disebabkan kami sibuk membuatkan perkara ini lambat.

“Kalau nak tahu boleh dikatakan setiap hari anak bertanya nak ‘baby’. Memandangkan dia seorang diri, jadi dia nak kawan. Insya-Allah kalau ada rezeki, adalah,” katanya.

Buat cerita bomba

Mengenai produk terbarunya, Darling teruja apabila drama Hero yang berkisar mengenai kerjaya anggota bomba dan penyelamat bakal menemui penonton pada 5 September ini, jam 9 malam di TV2.

Darling berkata, Hero adalah drama terbitannya yang menelan kos paling tinggi berbanding drama lain.

“Idea menerbitkan drama ini datang selepas bekas pengarahnya berhasrat membawa imej pasukan bomba ke kaca TV. Mendengarkan berita itu, saya terus menyiapkan kertas kerja dan menghantar ke pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Alhamdulillah mereka tertarik dengan idea dan tajuk yang diberikan.

“Boleh dikatakan ini produk terbesar saya sepanjang terbabit dalam bidang penerbitan. Malah saya menyifatkan drama ini menjadi berdasarkan maklum balas awal daripada peminat. Kebanyakan mereka tak sabar nak menonton hasilnya selepas sedutan drama ini dikongsikan di laman sosial.

“Bukan itu saja, kos pembikinan drama ini lebih banyak berbanding drama lain. Disebabkan itu juga, Hero menambahkan lagi keyakinan saya untuk menerbitkan drama yang lebih besar,” katanya.

Menariknya juga, Darling menerusi syarikatnya merancang untuk menerbitkan Hero ke layar lebar.

“Memandangkan ini drama pertama yang memaparkan kisah pasukan bomba, jadi cita-cita ke arah yang lebih besar itu ada. Bukan saja saya, malah peminat pun teruja sekiranya drama ini diadaptasi ke filem.

“Namun, saya dan pihak kementerian masih mencari masa yang sesuai untuk berbincang mengenainya,” katanya.

Drama 13 episod ini menampilkan barisan pelakon hebat seperti Fezrul Khan, Tiz Zaqyah, Afzan Rahman dan Kodi Rashid.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");