Jenayah

Derita dipatuk ular berbisa

JERTIH – Meskipun terselamat daripada maut setelah dipatuk ular berbisa pada Mei lalu, namun seorang murid tahun empat di Sekolah Kebangsaan (SK) Tanah Merah, Muhammad Lokhman Hakimi Ahmad Nordin, 10, terpaksa menanggung derita kesan daripada kejadian tersebut.

Walaupun kesakitan dipatuk ular semakin berkurang, namun luka di paha kanannya masih belum sembuh dan terpaksa menjalani rawatan mencuci luka setiap dua hari sekali di Hospital Besut.

Ibunya, Raziah Mamat, 48, berkata, pihak hospital sebelum ini terpaksa mengambil daging di bahagian paha anak bongsu daripada empat beradik itu bagi menutup bahagian atas tapak kakinya yang mengalami masalah sel mati kesan dipatuk ular berbisa.

Menurutnya, setelah menjalani rawatan, kesakitan dipatuk ular semakin berkurang, tetapi luka di bahagian paha belum sembuh sepenuhnya.

“Dia sudah ke sekolah, tapi tidak mampu berjalan dengan baik sebab masih sakit terutama di paha. Dalam seminggu, hanya beberapa hari dia ke sekolah disebabkan perlu mencuci luka.

“Dia juga sering mengadu sakit kerana masih belum sembuh sepenuhnya, termasuk tidak selesa berjalan kaki,” katanya yang menetap di Kampung Gong Kulim, dekat Kampung Gerai Tua.

Menceritakan kejadian, Raziah berkata, Lokhman dipatuk ular di bahagian ibu jari kaki kanan ketika membantu mengutip biji padi di sawah di hadapan rumahnya, kira-kira jam 6.30 petang pada 12 Mei lalu.

Menurutnya, Lokhman ketika itu beria-ria mahu membantunya mengutip benih yang terjatuh di petak sawah selepas menuai untuk dijadikan benih padi bagi tanaman musim berikutnya.

“Ketika berada berhampiran batas sawah, tiba-tiba dia beritahu kakinya dipatuk burung sebab ketika itu dia baling burung layang-layang yang terbang di kawasan tersebut.

“Saya lihat kakinya dan ada dua kesan luka kecil. Saya yakin dia dipatuk ular. Saya kemudian mengiringinya pulang berjalan kaki ke rumah, tapi dia terpaksa berhenti beberapa kali sebelum sampai sebab sakit,” katanya.

Menurut Raziah, suaminya, Ahmad Nordin Mamat, 51, ketika itu tiada di rumah kerana keluar bertemu rakan, namun terus membawa anak mereka ke Hospital Besut sebaik sahaja pulang.

Katanya, Lokhman ketika itu masih sedar, tetapi sering mengadu sakit sementara pihak hospital berusaha menyelamatnya, termasuk mendapatkan antivenom sesuai walaupun masalah timbul kerana mereka tidak melihat jenis ular yang mematuk anaknya itu.

“Saya yakin dia dipatuk tedung senduk kerana spesies berbisa itu sering ditemui di kawasan sawah di situ. Pada jam 10 malam, dia tak sedarkan diri di wad kecemasan selepas mengadu bibir kebas dan mulut tidak boleh ditutup rapat.

“Dia kemudian dirujuk ke Hospital Besar Kota Bharu, Kelantan dan koma beberapa hari, bagaimanapun setelah bertarung nyawa di ICU, dia akhirnya sedar kembali,” katanya.

Raziah berkata, Lokhman dirawat selama 12 hari sebelum dipindahkan semula ke Hospital Besut pada 2 Jun untuk menjalani pembedahan mengambil daging paha kira-kira sebesar telapak tangan bagi menutup bahagian kakinya yang reput akibat sel kulit mati.

Sementara itu, Raziah turut mengalu-alukan sumbangan ubatan sampingan, makanan tambahan atau kaedah rawatan lebih baik agar luka di kaki anaknya itu sembuh segera bagi membolehkan dia dapat bersekolah seperti biasa.

Menurutnya, pekerjaan suaminya sebagai petani tidak mampu untuk membeli makanan tambahan yang mahal, tambahan pula mereka perlu menjaga nenek tirinya yang uzur.

“Saya turut berterima kasih kepada Adun Jertih (yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Perusahaan, Perladangan dan Komoditi negeri) Datuk Muhammad Pehimi Yusof yang sudi menziarahi dan menyampaikan sumbangan,” katanya.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");