Sukan Hari Ini

Dulu kawan kini lawan

Monaco: Pep Guardiola akan kembali ke kelab lamanya Barcelona tetapi dengan memimpin Manchester City selepas kedua-dua pasukan itu diundi dalam kumpulan sama Liga Juara-Juara.

Guardiola yang pernah menjulang Piala Eropah ketika masih bergelar pemain bersama Barca pada 1992 sebelum dua kali membimbing kelab Catalan itu menjadi juara pada 2009 dan 2011, akan turut berdepan cabaran Borussia Moenchengladbach dan Celtic dalam Kumpulan C.

City melayan kunjungan Barcelona dalam kelompok 16 pasukan terakhir pada musim 2013-14 dan 2014-15 dan kelab Liga Perdana Inggeris itu turut menewaskan Gladbach sebanyak dua kali di peringkat kumpulan tahun lalu.

“Ia bukan keputusan undian yang buruk kerana semua pasukan berada dalam kejohanan besar dan kami semua gembira dapat beraksi di pertandingan elit ini tapi bermain di Barcelona, Borussia Monchengladbach dan Celtic bukan mudah,” kata Pengarah Bola Sepak City Txiki Begiristain.

“Kami layak ke separuh akhir Liga Juara-Juara musim lalu dan kali ini mahu melangkah lebih jauh. Ia pertandingan yang sukar untuk dimenangi – buat semua – dan anda perlukan tuah pada setiap perlawanan tapi kami sudah sedia dan akan sentiasa cuba untuk meningkat.”

Dalam laman web Twitter miliknya, kapten City Vincent Kompany berkata: “Keputusan undian yang biasa buat kami. Ia lebih baik begini. Kami sudah sedia.”

Juara bertahan Real Madrid yang memenangi Piala Eropah buat kali ke-11 musim lalu, diundi bersama Borussia Dortmund dalam Kumpulan F selain turut dihuni kelab Portugal Sporting dan Legia Warsaw dari Poland.

Dortmund mengatasi Real 4-3 pada agregat di separuh akhir tiga tahun lalu tetapi kelab gergasi Sepanyol itu berjaya membalas kekalahan berkenaan apabila menang 3-2 musim berikutnya sebelum menjulang gelaran 2014.

“Kami berada dalam kumpulan yang agak setanding. Ia memang sukar tapi menarik. Perlawanan menentang Real menjadi semakin menarik buat Dortmund. Kami tidak sabar untuk bertemu juara bertahan,” kata jurulatih Dortmund Thomas Tuchel.

Juara lima kali, Bayern Munich akan menentang naib juara musim lalu, Atletico Madrid dalam Kumpulan D yang turut menampilkan PSV Eindhoven dan kelab Russia Rostov.

“Ia kumpulan sukar dan kami perlu berhati-hati,” kata jurulatih Bayern Carlo Ancelotti yang membimbing pasukan itu buat kali pertama selepas menggantikan Guardiola.

“Atletico Madrid pernah mengalahkan FC Bayern musim lalu. Rostov mengejutkan saya dengan kemenangan ke atas Ajax dan Eindhoven serta hanya tewas menerusi penalti kepada Atletico musim lalu. Kumpulan ini bukan mudah.”

Paris Saint-Germain dan Arsenal adalah pasukan pilihan untuk melepasi peringkat Kumpulan A berbanding Basel dan kelab Bulgaria Ludogorets.

Leicester City pula menduduki Kumpulan G bersama-sama Porto, Club Brugge dan FC Copenhagen tetapi pengurus Foxes Claudio Ranieri pantas mengetepikan segala andaian awal.

“Kami hanya pasukan bukan pilihan,” kata Ranieri. “Musim ini, kami perlu melawan. Saya mahu melihat anak buah saya menentang pasukan hebat di Eropah.”-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");