Membawang Hari Ini

Elemen dramatik ‘ikat’ penonton

Rata-rata penonton yang hadir pada malam pertama pementasan Mencari Sumaiyah di Panggung Sari, Istana Budaya, Isnin lalu menyangka teater muzikal ini bergenre Islamik.

Bagaimanapun selepas menontonnya sehingga akhir, barulah mereka memahami arahan sulung pelakon Dira Abu Zahar ini sebenarnya menjurus kepada nilai kegigihan wanita.

Mencari Sumaiyah terbitan Hyper Pictures Sdn Bhd dan Tall Order Sdn Bhd dengan kerjasama Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan memaparkan ‘women empowerment’ yang diperlihatkan menerusi karakter Zaiton (Sherry Al Hadad), Maria (Nadia Aqilah), Salmi (Aisya Hasnaa) dan Faridah (Ruzana Ibrahim).

Keempat-empatnya berkongsi mengusahakan kedai menjahit baju di Kampung Rukun, namun cita-cita besar untuk memajukan diri membawa mereka merantau Kuala Lumpur.

Penulis skrip, Junad M Nor berjaya membentuk dan mengembangkan setiap watak dengan baik tanpa meminggirkan seorang pun daripada mengambil bahagian. Gandingannya dengan Dira memperlihatkan setiap karakter mempunyai ruang untuk bercerita perihal diri masing-masing dalam bentuk monolog dan nyanyian.

Mencari Sumaiyah disampaikan dalam bentuk yang mudah. Penonton tidak perlu berfikir mendalam untuk memahami apa yang ingin disampaikan. Bahkan, mereka juga diajak untuk bergelak ketawa dengan karakter Rozalmon (Afdlin Shauki) yang bersahaja membawakan watak antagonisnya.

Pentas IB bagaikan ‘makanan’ buat Afdlin yang sering melontarkan ‘punchline’ menggeletek hati penonton.

Bagaimanapun dalam ketawa, Mencari Sumaiyah yang dipentaskan sempena ulang tahun ke-70 UMNO dan 15 tahun Puteri UMNO mempunyai mesej tersendiri.

Teater ini menampilkan Zaiton, Maria, Salmi dan Faridah yang bercita-cita menjadi pereka pakaian artis popular, Maya Su (Erra Fazira). Keinginan yang meluap-luap itu membawa mereka berempat ke Kuala Lumpur untuk bertemu Maya Su.

Bagaimanapun, mereka tidak disenangi oleh pengurus dan pereka pakaian Maya Su, Rozalmon dan pembantunya (Nasz Sally). Mujurlah Maya Su menyukai idea mereka dan setuju bekerjasama untuk satu projek khas.

Menyaksikan Mencari Sumaiyah, penonton disajikan dengan pelbagai konflik berkisar kegigihan empat sahabat ini yang berdepan ujian getir yang hampir-hampir merosakkan persahabatan dipupuk sejak lama.

Daripada aspek lakonan, pujian wajar diberikan buat semua pelakon kerana menampilkan lakonan berkualiti dan menghiburkan. Masing-masing tampil dengan gaya tersendiri tanpa menenggelamkan karakter lain. Sherry, Nadia, Ruzana, Aisya dan Nasz tampil dengan lakonan yang mantap dan meyakinkan. Sementara Erra dan Afdlin berada pada kelas tersendiri dan tidak keterlaluan dikatakan kemunculan mereka ditunggu-tunggu oleh penonton.

Tampil elemen komedi

Sentuhan Kudin sebagai Pengarah Muzik yang ditambah dengan kemampuan setiap pelakon menyanyi secara ‘live’ turut memantapkan lagi teater itu. Dira yang ditemui mengakui amat berpuashati dengan lakonan setiap pelakonnya meskipun masa yang diperuntukkan untuk latihan agak singkat.

“Saya berterima kasih kepada Datuk Hans Isaac kerana banyak membantu sehinggakan beliau tak tidur semata-mata untuk melihat teater ini berjaya. Memang 10 minit pertama teater ini agak perlahan kerana ia lebih kepada pengenalan watak. Saya nak tunjukkan karakter mereka dan latar cerita.

“Kalau saya terus mulakan watak dengan elemen komedi, memang tak kena kerana saya bukannya buat Lawak Ke Der atau Maharaja Lawak Mega,” katanya.

Dira mahukan peminat memahami apa sebenarnya yang ingin ditampilkan dalam Mencari Sumaiyah.

“Elemen komedi yang ditampilkan adalah sebahagian daripada cerita. Saya tak janji nak buat satu cerita komedi sepenuhnya. Kemunculan Afdlin bertujuan menyuntik unsur komedi. Saya tahu siapa dia, tetapi dia bukan muncul dalam setiap babak kerana saya tak nak penonton hanya ketawa sehingga lupa mesej sebenar yang nak disampaikan.

“Mencari Sumaiyah tak terlalu berat atau dramatik kerana kandungannya boleh diterima penonton. Afdlin memang banyak berdialog secara spontan, tetapi nasib baik pelakon lain tak melayannya kerana kalau tidak, persembahan ini boleh melarat beberapa jam,” katanya.

Mencari Sumaiyah dipentaskan sehingga 14 Ogos dan peminat yang ingin menonton boleh membeli tiket menerusi www.airasiaredtix.com.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");