Perak Hari Ini

Fasiliti Dirosakkan, Stadium Mini Jadi Port Penagih

MANJOI : Sebilangan penduduk di kawasan Kampung Manjoi kecewa apabila Stadium Mini Sungai Tapah, di sini terbiar dan tidak boleh digunakan oleh masyarakat setempat sejak tujuh tahun lalu.

Lebih menyedihkan, stadium itu turut menjadi tempat golongan penagih dadah melepaskan gian mereka selain menjadi tempat pasangan bukan muhrim melakukan aktiviti tidak bermoral.

Timbalan Pengerusi Pertubuhan Integrasi Gugusan Manjoi, Zaidi Ramli 45, berkata, stadium mini yang siap dibina pada tahun 2005 itu juga mengalami masalah padang yang tidak cukup ukuran sehingga menyukarkan sebarang aktiviti diadakan di situ.

9

“Padang ini tidak mengikut spesifikasi yang sebetulnya dan itu menyukarkan kami menganjurkan sebarang aktiviti di sini.

“Selain itu, banyak kerosakan yang berlaku termasuklah tandas yang dirosakkan oleh penagih dadah malah beberapa peralatan dalam stadium turut dicuri,”katanya ketika ditemui.

Ujarnya lagi, pihaknya pernah dimaklumkan untuk mengubahsuai kawasan itu menjadi dua gelanggang futsal, namun pihaknya menolak cadangan tersebut.

Zaidi berkata, selepas stadium mini itu siap, padang itu tidak digunakan kerana tidak mengikut spesifikasi yang sebenar dan hanya digunakan semula sejak Februari tahun lalu walaupun keadaannya tidak memuaskan.

5

“Kami telah menghantar beberapa surat kepada pihak yang berkaitan, tetapi sehingga sekarang masih tidak menerima sebarang maklum balas.

“Tandas, pendawaian di stadium mini dan juga penghawa dingin semuanya rosak dan dicuri oleh penagih dadah di sini,”katanya.

Zaidi turut berkata, antara punca stadium mini itu rosak adalah kerana tidak ada pengawal keselamatan untuk menjaga fasiliti di situ.

“Dulu ada pengawal keselamatan tetapi perkhidmatannya dihentikan. Malah penyelenggaraan padang ini juga dihentikan sebelum kami meminta pihak Dewan Bandaraya Ipoh menyelenggara semula,”jelasnya.

4

Beliau berharap agar pihak yang berkaitan dapat mengambil serius terhadap perkara berkenaan untuk keselesaan penduduk.

Sementara itu, Ketua Kampung Manjoi, Shariff Mat Yusoff berkata, pihaknya telah mengambil maklum akan kejadian yang berlaku dan telah memaklumkan kepada pihak berkaitan termasuklah pihak polis.

“Saya dah laporkan kepada pihak polis berhubung kes kecurian dan penagihan dadah yang berlaku di kawasan itu dan pihak berkuasa sudah mengambil tindakan yang sewajarnya.

“Segala maklumat sudah sampai kepada pihak yang berkaitan mengenai perkara yang itu dan masih menunggu maklumbalas daripada pihak-pihak berkenaan,”katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, Mohamad Ziad Mohamed Zainal Abidin akan melihat semula perkara yang dibangkitkan oleh penduduk itu selain daripada telah merangka inisiatif untuk mengatasi masalah tersebut.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");