Jenayah

Geng Tiong tumpas, tujuh ditahan

SUBANG JAYA – Polis menemui 22 koleksi beg tangan berjenama, beberapa jam tangan dan peralatan elektronik selepas menumpaskan sindiket pecah rumah, Geng Tiong.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari berkata, pihaknya menahan tujuh suspek termasuk seorang wanita di beberapa lokasi sejak 20 Julai.

Menurutnya, polis menerima laporan daripada seorang penghuni rumah teres dua tingkat di Bandar Bukit Puchong yang mendakwa rumahnya dipecah masuk dan kereta jenis Honda Civic hilang pada 29 Jun lalu.

Mangsa turut kehilangan dua televisyen, dua jam tangan berjenama terkenal, tiga iPad, kasut berjenama, sejumlah wang tunai dan sebuah topi keledar jenis AVG berharga RM3,500.

Hasil risikan, polis menahan seorang lelaki berusia 39 tahun di sebuah kedai makan di Pinggiran USJ dan menemui topi keledar itu.

Polis kemudian memberkas empat suspek termasuk seorang wanita berusia 20 hingga 40an di sebuah pangsapuri di Bandar Puteri, Puchong.Tiga daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau termasuk satu dikehendaki polis bersabit kes di Puchong.

Pemeriksaan di bilik tidur dihuni seorang suspek, polis menemui 22 beg tangan dan jam tangan berjenama terkenal, kamera, komputer riba, telefon bimbit dan peralatan elektronik dipercayai hasil kegiatan pecah rumah.

Katanya, sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang diletakkan di tempat letak kereta pangsapuri dan pernah dilaporkan hilang di Tanjung Minyak, Melaka, turut dirampas.

“Hasil tangkapan suspek, polis temui semula kereta jenis Honda Civic milik mangsa. Siasatan lanjut membawa kepada penahanan dua lagi lelaki di Kota Damansara dan semua suspek direman hingga Isnin ini (hari ini),” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");