Jenayah

Ghaib berdarah

Georgetown: “Saya sangka letupan itu disebabkan ada orang menembak gagak, tetapi saya terkejut apabila mendengar bunyi riuh di luar rumah.

“Sejurus meninjau di luar rumah, saya lihat ramai anggota polis dan seorang lelaki bersama dua wanita berada dalam sebuah kereta,” kata seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Devi, 60, menceritakan kejadian empat individu yang ditembak polis sebelum kenderaan mereka terbabas di kawasan perumahan Solok Sungai Pinang, di sini, pagi semalam.

Devi berkata, sebelum ini, kawasan berkenaan memang menjadi tumpuan operasi menembak gagak namun dia tidak menyangka bunyi letupan didengari kali ini sebenarnya adalah akibat tembakan yang dilepaskan polis terhadap penjenayah.

“Sebagai penduduk di kawasan ini, saya sudah biasa dengan bunyi tembakan kerana operasi menembak gagak yang dilakukan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

“Namun, pagi ini (semalam), saya sangat terkejut apabila mendapati tembakan itu sebenarnya dilepaskan polis selepas mengejar penjenayah,” katanya.

Menurutnya, dia terkejut apabila dimaklumkan seorang daripada suspek meloloskan diri walaupun cedera akibat terkena tembakan.

Dalam kejadian jam 5.30 pagi, empat individu terdiri daripada dua lelaki dan dua wanita menaiki kereta berkenaan cuba melarikan diri ketika dikejar polis.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, polis yang melakukan rondaan pada mulanya terserempak dengan Proton Iswara Aeroback yang diparkir di tepi jalan di susur keluar Lebuh raya Tun Dr Lim Ching Eu, di sini.

Beliau berkata, anggota unit MPV kemudian mahu membuat pemeriksaan namun pemandu yang ketika itu berada di luar kereta tiba-tiba masuk dan memecut kenderaannya.

“Anggota polis mengejar sehingga ke Jalan Perusahaan Jelutong dan cuba menghalang laluannya namun suspek enggan memberhentikan kereta, malah melanggar bahagian depan MPV.

“Pemandu kereta itu cuba memasuki semula lebuh raya dan disekat dua lagi MPV yang datang membantu. Anggota polis keluar dari kereta dan mengarahkan suspek supaya berhenti namun suspek cuba melanggar dua anggota polis itu menyebabkan mereka melepaskan beberapa das tembakan untuk mempertahankan diri,” katanya.

Mior Faridalathrash berkata, pemandu terbabit meloloskan diri dengan memecut keretanya sebelum akhirnya kereta itu dikesan di kawasan perumahan berhampiran dan polis menahan tiga individu membabitkan seorang lelaki berusia 18 tahun, kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun serta wanita berusia 34 tahun.

Beliau berkata, ketiga-tiganya tidak cedera namun siasatan mendapati lelaki yang memandu kereta itu melarikan diri dalam keadaan cedera kerana polis turut menemui tompokan darah di tempat duduk pemandu.

“Siasatan awal mendapati kereta berkenaan pernah dilaporkan hilang di Jelutong dan polis menyiasat kes ini mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

“Sehubungan itu, individu yang memiliki maklumat mengenai lelaki yang cedera dan mahu mendapatkan rawatan di hospital atau klinik supaya menyalurkan maklumat ke balai polis berhampiran,” katanya.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");