Sukan Hari Ini

Hanya kibar bendera Kuwait

Rio de Janeiro: Atlet menembak Kuwait yang dilabel sebagai legenda, Fehaid al-Deehani (gambar) enggan membawa bendera pasukan neutral ketika majlis pembukaan Olimpik Rio susulan atlet negara Teluk itu tidak dibenarkan berarak di belakang bendera rasmi negara.

Kuwait sedang menjalani hukuman penggantungan dikenakan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) dan persekutuan sukan lain seperti FIFA, gara-gara campur tangan kerajaan dalam pentadbiran sukan di negara itu.

Walaupun wujud usaha mengadakan dialog dengan Kuwait untuk mencari jalan penyelesaian, Fehaid satu-satunya pemenang pingat Olimpik untuk Kuwait, serta tujuh atlet lain sedia memilih untuk tidak bertanding di Olimpik atas tiket ‘Atlet Olimpik Bebas’.

Laporan media Kuwait menyebut, IOC mengarahkan Fehaid yang memenangi gangsa acara menembak di Olimpik 2000 Sydney dan London 2012 untuk membawa bendera pasukan neutral di Rio.

Bagaimanapun, Fehaid yang juga seorang pegawai tentera di Kuwait menolak cadangan IOC itu.

“Saya seorang tentera dan akan membawa bendera Kuwait,” katanya. “Saya tidak akan dan tidak boleh membawa bendera IOC.”

IOC dan FIFA pernah menggantung Kuwait tiga kali sejak 2007 kerana campur tangan kerajaan.

Penggantungan terbaru dikenakan ke atas Kuwait itu turut memberi kesan kepada jutawan sukan di negara Teluk itu, Sheikh Ahmad Al-Fahad Al-Sabah yang juga ahli IOC serta FIFA.

Kerajaan Kuwait membawa kes berkenaan ke Mahkamah Timbang Tara di Switzerland dan menuntut ganti rugi AS$1 bilion (RM4.02 bilion) daripada IOC kerana penggantungan itu dengan Menteri Belia dan Maklumat Sheikh Salman al-Humoud al-Sabah melabel tindakan berkenaan sebagai tidak adil.

Mahkamah Timbang Tara Untuk Sukan mengeluarkan keputusan yang tidak memihak kepada Kuwait.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");