Berita Hari Ini

Industri penjagaan kesihatan jana RM13b hasil

PUTRAJAYA – Industri penjagaan kesihatan Malaysia dijangka menjana hampir RM13 bilion hasil tahun ini, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam.

Katanya, sektor peralatan perubatan, yang merupakan bahagian terpenting dalam industri itu, dijangka menyumbang RM11 bilion dalam eksport, dengan hasil daripada pelancongan kesihatan dan sektor farmaseutikal, masing-masing dijangka mencecah RM1 bilion dan RM800 juta.

Secara keseluruhan, industri penjagaan kesihatan diramal menyumbang RM35 bilion kepada pendapatan kasar negara (GNI) serta mewujudkan 180,000 pekerjaan menjelang tahun 2020.

“Bagi sektor peralatan perubatan, Malaysia merupakan pengeluar sarung tangan pembedahan terbesar di dunia dan kami juga mengeluarkan katil, kerusi pergigian dan implan ortopedik.

“Kami harap kami mampu untuk bersaing di pasaran antarabangsa,” katanya kepada pemberita semasa Seminar Kompetensi Peranti Perubatan di sini hari ini.

Bertemakan “Ke Arah Pelaksanaan Program Pengawalseliaaan Peranti Perubatan di Malaysia”, seminar tersebut dianjurkan oleh Pihak Berkuasa Peranti Perubatan dan Eastwood Park Integrated Academy Sdn Bhd.

Dr Subramaniam berkata, seminar ini akan memulakan Program Pengawalseliaan Kecekapan Peranti Perubatan, selaras dengan Akta Peranti Perubatan 2012 (Akta 737).

Katanya, program berkenaan akan memastikan kecekapan di kalangan individu yang menggunakan serta mengendalikan peranti perubatan atau seseorang yang terlibat dengan pemasangan, pentauliahan, pengujian, menjaga atau melupuskan peralatan perubatan untuk mematuhi syarat-syarat Akta.

“Terdapat 4,000 individu di negara ini yang bekerja dalam bidang ini dan mereka perlu dilatih dengan betul untuk memastikan mereka memenuhi semua syarat Akta,” katanya.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");