Sukan Hari Ini

Irfan puji semangat juang pemain

Maran: Pengendali pasukan FELDA United Irfan Bakti berpuas hati dengan semangat juang dipamerkan anak buahnya walaupun misi membenamkan Johor Darul Ta’zim (Johor DT) tidak kesampaian dalam saingan Liga Super di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka malam kelmarin.

Meskipun tewas 2-3, beliau tetap berbangga kerana skuad kendaliannya berupaya melangkah ke saingan Piala AFC musim depan.

“Kami bermati-matian untuk menyamakan keputusan selepas dua kali ketinggalan, tapi kurang bernasib baik untuk menang.

“Sudah pasti kami berasa kecewa dengan keputusan ini, namun secara keseluruhan kami berjaya memberikan cabaran sengit kepada mereka sebelum menang,” katanya.

Irfan berkata, senario yang merencatkan rentak skuad The Fighters bermula pada babak kedua perlawanan apabila pasukan mereka terpaksa bermain dengan 10 pemain selepas Nor Fazly Alias dikenakan kad merah pada minit ke-58.

Beliau berkata, ketiadaan pemain itu mengakibatkan mereka sukar bertahan dengan baik selepas melancarkan serangan ke arah kubu lawan.

Sementara itu, perlawanan malam tadi turut menyaksikan beberapa insiden panas berlaku antaranya pengendali Johor DT Mario Gomez bertindak masuk ke padang bagi memprotes beberapa keputusan pengadil selepas tamat separuh masa pertama.

Selain itu, permainan juga terpaksa dihentikan beberapa minit di separuh masa kedua susulan segelintir penonton membaling botol minuman kepada pemain Johor DT, Mohd Aidil Zafuan Abd Razak yang berada di tepi padang. – BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");