Panasnya Hari Ini

Isu Hina Institusi Raja: Azmin Hanya Berdiam Diri

KUALA LUMPUR:Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, Budiman Mohd Zohdi menyifatkan bahawa Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilihat seakan mendiamkan diri berhubung kenyataan Naib Presiden PKR, Darell Leiking yang didakwa menghina institusi Raja.

Memetik sumber Astro Awani, beliau meminta penjelasan daripada Mohamed Azmin, bagaimanapun Azmin masih memilih untuk ‘bersikap hipokrit.’

Budiman turut menyatakan kekesalannya apabila usul berkaitan isu yang dikemukakan beliau kepada Dewan Undangan Negeri Selangor ditolak Speaker, Hannah Yeoh Tseow Suan.

“Sebagai langkah awal, saya telah menyuarakan cabaran kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga merupakan Timbalan Presiden PKR pada 16 Julai yang lalu, namun sehingga kini beliau masih menikus dan mengambil jalan yang bersikap hipokrit terhadap kenyataan pemimpin yang sama parti dengannya.

“Lanjutan daripada itu, pada 1 Ogos 2016, saya telah mengemukakan usul tergempar berkaitan perkara tersebut kepada Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor untuk dibahaskan.

“Namun cadangan terhadap usul ini telah ditolak atas alasan isu ini sedang disiasat Polis Diraja Malaysia (PDRM) berikutan laporan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS),” katanya.

Tambahnya lagi, usul itu dikemukakan lantaran rakyat mulai muak serta jijik terhadap sikap serta amalan politik yang menyentuh sensitiviti agama.

“Usul ini dikemukakan ke Dewan Yang Mulia adalah kerana rakyat sendiri sebenarnya sudah mula muak dan jijik dengan sikap serta amalan politik keterlaluan yang cuba menyentuh sensitiviti agama dan umat Islam yang bertujuan meraih perhatian dan populariti politik oleh parti PKR.

“Saya yakin sekiranya cadangan untuk dibahaskan usul ini diterima, maka Dewan Yang Mulia ini dapatlah mengambil pandangan dan input daripada Yang Berhormat Kerajaan mahupun pembangkang, dan segala pandangan serta input ini bolehlah dijadikan sebagai garis panduan supaya keceluparan seperti ini tidak berlaku di masa akan datang.

“Menyedari hakikat bahawa rakyat dan Raja berpisah tiada, dan rakyat bernaung di bawah payung pemerintahan Baginda, maka kita tidak mahu lagi kenyataan yang berkecenderungan menghina institusi Raja ini dijadikan satu norma dan kebiasaan kepada mereka,” ujar beliau.

Terdahulu pada 7 Julai lalu, Darell Leiking telah memuat naik status di akaun Facebook beliau, yang mempertikai khutbah dikeluarkan JAIS sempena Aidilfitri 6 Julai lalu yang menyentuh usaha mempertingkatkan serta memartabatkan institusi perundangan Syariah menerusi usul Rang Undang-Undang Persendirian mengenai Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 di Parlimen.

Darell Leiking kemudian membuat kenyataan ‘kelihatan Selangor ditadbir oleh ekstrimis Islam’ (It is beginning to look like the extremists are running the State of Selangor).

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");