Isu Panas

Isu RM90 juta mungkin agenda lemahkan Pas

SHAH ALAM – Penganalisis politik tidak menolak kemungkinan laporan Sarawak Report yang mengaitkan Pas dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan RM90 juta mempunyai agenda untuk melemahkan parti Islam itu gara-gara dilihat mesra dengan Umno.

Pensyarah dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berpendapat, ada kemungkinan dakwaan itu sebagai strategi terbaharu yang diguna pakai dalam usaha menjatuhkan Pas.

“Saya percaya Pas akan mengambil pendekatan untuk menghentikan laporan itu jika ia bersifat tohmahan. Mungkin juga ia agenda untuk melemahkan Pas memandangkan Pas tidak berada dalam Pakatan Harapan yang juga dilihat mesra kepada Umno.

“Tapi secara umumnya, baik ahli Pas ataupun bukan, harus melihat dengan lebih menyeluruh dan memastikan mendapat butiran yang benar supaya ia tidak hanya bersifat sensasi,” katanya kepada Sinar Online.

Sebelum ini, Pas dikaitkan dengan RM90 juta dalam usaha merayu agar Pas menjauhi gabungan pembangkang yang sedang dalam perancangan.

Namun Pas tidak berdiam diri sebaliknya terus menegaskan akan mengambil tindakan undang-undang ke atas portal berita tersebut.

Pensyarah Fakulti Sains Sosial dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Prof Madya Dr Jeniri Amir berkata, dakwaan yang dibuat Sarawak Report itu tidak boleh hanya bersandarkan cakap-cakap sebaliknya ia perlu mengemukakan bukti yang kukuh jika tidak mahu integriti kewartawanannya terjejas.

“Kalau tidak, dakwaan itu hanya dianggap sebagai satu tuduhan untuk mencalarkan imej dan reputasi Najib, Umno dan Pas.

“Lebih-lebih lagi dalam konteks orang melihat sudah wujud semacam kemesraan antara kedua-dua parti ini. Jadi, ini dapat dilihat sebagai satu percubaan untuk menjejaskan integriti dan kepimpinan Umno dan Pas,” katanya.

Dalam pada itu, menurut Jeniri, tanpa berlandaskan bukti kukuh, Sarawak Report hanya akan membuatkan orang ramai tidak mempercayai portal itu lagi.

“Sarawak Report tentu punya justifikasinya sendiri berlandaskan ilmu kewartawanan yang ada padanya untuk keluarkan laporan itu.

“Jika tidak, integriti Sarawak Report akan terjejas dan orang tak akan percaya sekiranya mereka asyik menyiarkan berita yang tidak beretika dan tidak bertanggungjawab kerana kewartawanan yang baik dan profesional adalah kewartawanan yang bersandarkan sumber sahih dan fakta tidak diragui,” katanya.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");