Sukan Hari Ini

Jang longlai di laman sendiri

HASRAT Negeri Sembilan untuk sekurang-kurangnya memperbaiki kedudukan dalam Liga Perdana 2016 tidak kesampaian berikutan tewas kepada Melaka United di laman sendiri, malam tadi.

Tatkala perlawanan tampak seakan berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan, muncul R Surendran memusnahkan harapan Skuad Jang menerusi jaringan tunggalnya pada minit ke-79.

Pemain kelahiran Triang, Pahang, ini cukup pantas menyambar bola lorongan rakan sepasukan dari sebelah kanan, sebelum mudah menolak masuk ke dalam gol.

Kelibatnya pada malam itu boleh disifatkan seperti duri dalam daging buat pasukan tuan rumah, ekoran tidak henti-henti memberikan ancaman ke kubu lawan.

Sementara itu, Negeri Sembilan yang hanya menurunkan seorang pemain import iaitu Goran Jerkovic pula seolah-olah kebuntuan idea untuk mencipta gerakan menarik.

Barangkali tujuan mereka merehatkan Taylor Regan, Alex Smith dan Henrique Silva bagi memastikan ketiga-tiganya cukup cergas untuk menghadapi saingan suku akhir pertama Piala Malaysia 2016 pada Sabtu ini di Paroi.

Hakikatnya, mereka perlu berterima kasih kepada Mohamad Kaharuddin Abdul Rahman yang cemerlang mengawal pintu gawang.

Pemuda berusia 25 tahun ini berjaya menafikan sekurang-kurangnya empat percubaan tepat Melaka United yang hampir pasti menghasilkan gol.

Paling mencuri tumpuan pada minit ke-58, apabila dia melayangkan badan untuk menepis keluar bola rembatan R Surendran dari luar kotak penalti.

Berselang 15 minit kemudian, ketangkasannya sekali lagi diuji. Kali ini menerusi rembatan leret yang ditujukan ke sebelah kanan.

Kekalahan itu menyaksikan Skuad Rusa kekal di tangga kelima dengan 28 mata, manakala Sang Kancil yang sudah memungut 48 mata hanya memerlukan satu lagi kemenangan sebelum dinobatkan sebagai juara liga dan seterusnya naik ke Liga Super.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");