Membawang Hari Ini

Jangan Marah beri harapan

Sejak menjuarai program Bintang RTM 2009, Ernie Zakri tidak putus asa untuk mencipta nama sebagai penyanyi. Boleh dikatakan setiap tahun Ernie atau nama sebenarnya, Nur Ernie Shahirah Zakri menghasilkan lagu semata-mata untuk kekal relevan dalam bidang nyanyian.

Namun, tuah belum menyebelahi gadis berusia 24 tahun ini apabila lagu yang diterbitkan gagal menarik perhatian peminat muzik tempatan.

Kini Ernie mampu tersenyum lebar selepas single terbarunya Jangan Marah makin menjadi sebutan sekali gus mempopularkan namanya.

“Kebanyakan lagu saya sebelum ini berentak balada. Jadi saya terfikir untuk tampil dengan sesuatu yang segar tambahan pula trend muzik di Malaysia kini lebih kepada lagu berentak ‘catchy’ dan lirik yang ringkas.

“Disebabkan itu saya mencuba nasib bekerjasama dengan DJ Fuzz. Bukan apa, saya perlu mencari seseorang yang boleh membantu saya dalam menghasilkan lagu yang menjadi ikutan remaja sekarang.

“Alhamdulillah, lagu Jangan Marah ini saya anggap permulaan yang baik dalam kerjaya nyanyian selepas tujuh tahun dalam industri. Penerimaan terhadap lagu ini membuatkan saya bertambah yakin dan lebih bersemangat untuk terus berjuang sebagai anak seni,” katanya.

Ernie berkata, sebelum lagu itu dia muncul menerusi lagu Ini Yang Ku Mahu ciptaan DJ Fuzz pada awal tahun ini namun tidak menyerlah.

Bagi Ernie perkara itu dianggap bukan rezeki kerana semua percubaannya sebelum ini tidak memberikan hasil seperti yang diharapkan.

“Tipu kalau saya katakan tak bersedih dengan apa dilalui. Tambahan pula melihatkan kejayaan rakan seangkatan. Saya sentiasa terfikir kenapa begitu sukar untuk mencipta nama?

“Namun saya tak pernah berhenti berharap malah jauh sekali berputus asa. Justeru saya menguatkan diri untuk terus menyanyi. Minat yang ada dalam diri ini mendorong saya untuk tidak mudah menyerah kalah.

“Pada masa sama, saya bertuah apabila sentiasa mendapat kata-kata semangat dan sokongan daripada ibu dan bapa saudara saya iaitu Ziana Zain dan Anuar Zain. Pesan mereka supaya jangan mudah berputus asa,” katanya.

Ernie juga berkongsi yang setiap kali dia muncul dengan lagu baru, Anuar menjadi rujukan utamanya.

“Ketika saya memperdengarkan lagu baru saya ini dalam bentuk demo, Pak Ngah (Anuar Zain) sudah menyukainya. Sehinggalah ia diterbitkan, single itu menjadi antara lagu kegemarannya. Malah, dia boleh menyanyi dan menghafal liriknya. Lebih membuatkan saya terharu apabila dia turut membeli di aplikasi iTunes,” katanya.

Seiring dengan kerjaya nyanyiannya, Ernie juga menjadi tenaga pengajar di Akademi Muzik Bantley sejak setahun lalu.

“Selain mengajar di akademi, saya juga menjadi guru vokal peribadi termasuk kepada beberapa penyanyi sedia ada. Memandangkan saya mempunyai kelulusan dalam bidang berkenaan, saya memanfaatkan kelebihan itu. Sedikit sebanyak saya dapat berkongsi ilmu dengan orang lain,” katanya.

Terbaru, Ernie menyambung pengajiannya dalam bidang Ijazah Sarjana Muzik di Universiti Malaya selama tiga tahun.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");