Berita Hari Ini

Kekurangan Bekalan Punca Kelewatan Proses Urusan Pasport – KP Imigresen

KUALA LUMPUR: Tempoh selama enam bulan ditetapkan Jabatan Imigresen untuk memohon atau memperbaharui pasport adalah berpunca daripada masalah kekurangan bekalan pasport oleh pihak pembekal.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali berkata pihak imigresen mengambil serius mengenai laporan berita pada 29 Julai lepas mengenai kelewatan proses permohonan dan memperbaharui itu sehingga menyebabkan situasi panik dalam kalangan orang ramai.

“Susulan daripada laporan tersebut, pejabat imigresen di seluruh negara dibanjiri orang ramai untuk membuat permohonan pasport baharu dan memperbaharui pasport,” katanya dalam kenyataan, di sini pada Selasa.

Media hari ini melaporkan orang ramai yang berurusan di Jabatan Imigresen Putrajaya di Presint 3, Putrajaya semalam terpaksa menunggu lebih lapan jam kerana jabatan kerajaan itu mengalami masalah teknikal sistem komputer.

Laporan media itu juga berkata masalah yang sama turut dialami di kaunter membuat pasport di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kuala Lumpur Pudu, UTC Sentul, pejabat Jabatan Imigresen Jalan Tunku Abdul Halim (dahulu dikenali dengan nama Jalan Duta), Kuala Lumpur dan Jabatan Imigresen Seremban, Negeri Sembilan.

Sehubungan itu, Mustafar berkata Jabatan Imigresen sentiasa memastikan bekalan pasport tidak terganggu kerana Pasport Malaysia Antarabangsa kini mengalami proses transisi kepada pasport versi baharu dan menghadapi masalah kecil.

“Pihak kerajaan dan imigresen sentiasa melaksanakan usaha yang terbaik dalam memperkasakan perkhidmatan awam, selama ini rekod pengeluaran Pasport Malaysia Antarabangsa adalah yang terbaik berbanding negara-negara lain.

“Tempoh penyerahan pasport selama satu jam selepas membuat bayaran merupakan pertama kali diperkenalkan di dunia, negara-negara maju mengambil masa antara dua minggu hingga tiga bulan untuk mendapatkan pasport,” katanya.

Justeru, orang ramai diseru merancang perjalanan dengan bijak dan tidak membuat permohonan pada saat-saat akhir bagi mengelakkan sebarang masalah kepada pemohon sekiranya pasport mereka tidak dapat diproses pada hari yang sama akibat jumlah pemohon yang tinggi di pejabat imigresen di seluruh negara, katanya.

Orang ramai diminta tidak panik atas masalah kelewatan memproseskan pasport itu kerana kerajaan akan menangani isu berkenaan dengan berkesan dan memastikan tahap perkhidmatan imigresen berada dalam keadaan terbaik, kata Mustafar.

-mstar

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");