Berita Hari Ini

Kemasukan pelabur beri impak positif

KLUANG – Kerajaan negeri Johor menggalakkan pelabur menjalankan aktiviti pelaburan di negeri ini berikutan memberi impak positif dalam mewujudkan peluang pekerjaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Negeri Johor, Datuk Tee Siew Kiong berkata, menerusi program lawatan mesra pelabur ke daerah ini bertujuan membincangkan isu-isu industri, lawatan kawasan perindustrian dan memberi penjelasan mengenai dasar kerajaan negeri kepada pelabur di daerah.

Jelasnya, kunjungannya ke daerah ini adalah program ketujuh pihaknya selepas daerah Batu Pahat bagi tujuan bertemu dengan pelabur.

“Saya melawat kawasan perindustrian bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mendengar taklimat, memahami dan membincangkan isu industri selaras dasar kerajaan Negeri Johor yang pro-business.

“Program ‘engagement’ Majlis Perbandaran Kluang bersama pemain industri akan terus disokong dengan penglibatan agensi seperti JSIC (Pusat Pelaburan Negeri Johor), Mida (Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia) dan Miti (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri) untuk jadikan pembangunan industri di Kluang lebih berkembang.

“Saya ambil kesempatan merakamkan penghargaan atas kerjasama semua agensi bagi mewujudkan ekosistem pelaburan kondusif dan mesra pelabur. Kerajaan negeri menerusi JSIC akan terus adakan lebih banyak sesi ‘engagement’ bersama pemain industri dari semasa ke semasa,” katanya ketika ditemui di Hotel Merdeka, dekat sini, kelmarin.

Siew Kiong berkata, selain proaktif menarik projek pelaburan baharu ke Johor, kerajaan negeri juga memberikan penekanan sama penting kepada sektor pasca pelaburan.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa memastikan pelabur dan kilang industri sedia ada di negeri ini berasa senang hati, selesa dan yakin terhadap Kerajaan Negeri Johor dalam menyelesaikan permasalahan dihadapi mereka.

“Kerajaan negeri perlu pastikan industri sedia ada di Johor sentiasa tingkatkan produktiviti mereka dan dapat mengembangkan perniagaan mereka di Johor.

“JSIC dan Mida Johor sedia membantu menyediakan maklumat pelbagai insentif daripada kerajaan pusat.

“Saya juga difahamkan sebuah syarikat tempatan (Johor) berpengalaman lebih 30 tahun dalam memajukan industri tekstil atau lebih khusus pakaian sukan, berminat meluaskan operasi mereka di Kluang. Dengan nilai pelaburan 100 juta USD, ia akan mewujudkan 2,000 peluang pekerjaan di Kluang,” katanya.

Jelasnya, ini membuktikan selain pelabur antarabangsa semakin menunjukkan minat memasuki Johor, pelabur domestik juga yakin dengan kerajaan negeri dan cara negeri sebagai pemudah cara sesuatu pelaburan yang baik.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");