Berita Hari Ini

Kerajaan kini tumpukan agenda ekonomi digital

KUALA LUMPUR – Ekonomi digital kini menjadi satu daripada agenda dan tumpuan penting kerajaan yang dilihat berpotensi menyumbang sekitar 20 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2020, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Beliau berkata dalam menggerakkan ekonomi digital, pembangunan ekosistem digital yang kondusif perlu dititikberatkan bagi merangsang pertumbuhan industri dalam bidang tersebut.

Katanya ia termasuk menerusi pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang membolehkan ekosistem digital diwujudkan dengan lebih cepat kerana peraturan dan garis panduan baharu yang akan dihasilkan memudahkan pemain industri mematuhi segala keperluan Kerajaan.

“Sebagai contoh, pembinaan Pusat Data di Iskandar Malaysia (Johor) membolehkan pemain industri lebih berminat melakukan aktiviti ekonomi digital di Malaysia dengan kos yang lebih efektif.

“Ini kerana Rangka Kerja Harga Capaian akan ditambah baik bagi menggalakkan persaingan dan perkongsian infrastruktur dalam kalangan penyedia perkhidmatan,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Bernama bersempena genap setahun beliau menerajui kementerian itu, di sini.

Dalam pada itu, Salleh turut melahirkan rasa bangga dengan perkembangan semasa industri teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di negara ini termasuk kejayaan Koridor Raya Multimedia (MSC) Malaysia yang telah menyumbang kepada peningkatan taraf hidup rakyat khususnya melalui pelaburan di dalam dan luar negara serta peluang pekerjaan yang dihasilkan.

Katanya, tahun lepas sahaja, MSC Malaysia telah menyumbang sebanyak RM15.3 bilion kepada KDNK dan mencatatkan nilai pelaburan tertinggi sejak penubuhan MSC Malaysia dengan nilai pelaburan baharu sebanyak RM5 bilion.

Katanya, nilai pelaburan itu merupakan peningkatan sebanyak 72 peratus berbanding RM2.9 bilion yang diperoleh pada tahun 2014.

Katanya, di samping mewujudkan sebanyak 10,981 peluang pekerjaan pada tahun 2015, sebanyak 4,042 syarikat yang diberikan status MSC Malaysia juga telah mencatatkan nilai jualan sebanyak RM42.1 bilion dan eksport sebanyak RM16.2 bilion melalui perkhidmatan dan hasil produk ICT yang dibangunkan.

“Pelaksanaan bandaraya siber dan pusat siber MSC Malaysia juga telah diperluaskan di seluruh negara. Sehingga Jun 2016, sebanyak 44 bandaraya siber dan pusat siber telah beroperasi di seluruh negara,” katanya.

Mengenai perkembangan terkini dalam bidang keusahawanan dan perniagaan dalam talian, Salleh berkata program eRezeki yang diperkenalkan telah menarik sebanyak 76,156 orang daripada golongan B40 untuk berdaftar.

Katanya, sebanyak 30,925 orang pula telah dilatih di bawah program itu dengan sebanyak 22,873 daripada mereka telah menjana pendapatan berjumlah lebih daripada RM15 juta.

Program eUsahawan pula, katanya telah berjaya melatih sejumlah 19,694 pelajar pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) dan usahawan melalui kursus yang telah diikuti dengan sebanyak 5,976 orang telah berjaya menjana pendapatan tambahan melalui program itu dengan jumlah terkumpul melebihi RM12 juta.

Salleh turut melihat industri kreatif yang berpotensi besar untuk menjana kekayaan dan mewujudkan peluang pekerjaan di negara ini melalui penggalakkan dan eksploitasi harta intelek seterusnya bersaing di pasaran antarabangsa.

Beliau berkata antara cabaran besar industri itu yang perlu didepani ialah penggilapan bakat dan penghasilan kandungan berkualiti tempatan yang boleh diketengahkan dan diiktiraf di peringkat global.

“Saya telah meminta supaya pembangunan bakat dan kandungan yang berkualiti diberi keutamaan dengan membuat perancangan yang menyeluruh. Di samping itu, pelan pemasaran yang mantap juga perlu disediakan,” katanya.

Beliau menambah, sehingga Jun tahun ini nilai jualan dan pelaburan eksport kandungan adalah sebanyak RM51.2 juta melalui program pasaran filem antarabangsa, sementara nilai kandungan eksport adalah sebanyak RM240 juta.

“Manakala jumlah kutipan filem bagi 24 buah filem yang ditayangkan melalui skim wajib tayang adalah sebanyak RM56.74 juta. Kesemua ini membuktikan industri kreatif mampu menjadi pemacu kepada ekonomi baharu negara,” katanya.

Mengenai penghijrahan penyiaran televisyen terrestrial kepada digital menerusi pelaksanaan projek Pendigitalan Penyiaran Nasional, Salleh berkata pelancaran perkhidmatan itu dibuat secara berperingkat disasarkan bermula pada suku keempat tahun ini di kawasan Pantai Timur, Semenanjung Malaysia.

Katanya, sehingga Jun lepas, liputan siaran perkhidmatan televisyen digital telah disediakan kepada hampir 85 peratus kawasan berpenduduk melalui pembinaan 14 stesen pemancar TV di seluruh Negara.

“Sepuluh lagi stesen pemancar TV bakal dipasang pada penghujung tahun 2016 bagi peluasan liputan perkhidmatan TV Digital kepada 91 peratus kawasan berpenduduk,” katanya.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");