Berita Hari Ini

Kumpul tandatangan tolak rasis

TUMPAT – Kumpulan Kami Anak Malaysia yang terdiri daripada empat lelaki Melayu, Cina, India dan Siam bersatu mengadakan kempen tolak budaya rasis dalam kalangan masyarakat di negeri ini, sekali gus menzahirkan penyatuan kaum.

Ketuanya, Lau Chit Fang berkata, melalui kempen tersebut, mereka akan mengumpulkan sebanyak mungkin tandatangan rakyat Malaysia pelbagai kaum sebagai sokongan menolak budaya rasis yang tidak membawa sebarang keuntungan.

“Budaya rasis perlu ditolak kerana ia menggugat perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Malaysia. Rasis boleh menghancurkan kestabilan negara.

“Sempena ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-59, kami dengan kerjasama Rakan Facebook Kelantan melancarkan kempen mengumpul tandatangan menolak budaya rasis,” katanya.

Perasmian kempen disempurnakan oleh Ketua Balai Polis Tumpat, Asisten Superintendan Nik Ahmad Kamil Ahmad yang mewakili Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Zaharudin Rasip di hadapan Pasaraya Supermas Sdn Bhd, di Kampung Berangan, semalam.

Hadir sama pada majlis perasmian tersebut ialah Pengurus Supermas (Tumpat) Sdn Bhd, Wang Teck Oon dan empat ahli kumpulan Kami Anak Malaysia selain Chit Fang (Cina) ialah, Bengkiue A/L El Si (Siam), Adlan Aman (Melayu) serta R Hareetaran (India).

Menurut Chit Fang, penubuhan kumpulan itu bertitik tolak daripada insiden pergaduhan di Plaza Low Yatt tahun lalu bagi membuktikan anggota masyarakat berbilang kaum sebenarnya boleh hidup bersatu padu.

“Penubuhan kumpulan ini membuktikan kami yang terdiri daripada Melayu, India, Siam dan Cina boleh bersatu padu. Kumpulan ini baru dua tahun ditubuhkan dan kami sentiasa anjur program menjurus kepada perpaduan kaum.

“Tahun lepas kita buat dokumentari yang ada hubung kait dengan perpaduan dan untuk 2016, kami kumpul tandatangan bagi menolak budaya rasis,” katanya.

Pada majlis tersebut, Kami Anak Malaysia dengan kerjasama Pasaraya Supermas (Tumpat) Sdn Bhd turut mengagihkan Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kebangsaan dan turut diadakan, penyampaian sumbangan berupa barangan keperluan harian kepada 30 keluarga daripada pelbagai kaum di jajahan Tumpat.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");