Berita Hari Ini

Kurang penguatkuasaan punca senjata api mudah diseludup

KUALA LUMPUR – Kurangnya penguatkuasaan di sempadan negara dipercayai antara punca senjata api begitu mudah diseludup ke negara ini dan seterusnya membawa kepada peningkatan kes pembunuh upahan di Malaysia.

Perkara itu didedahkan Pengarah Institut Jenayah dan Kriminologi di Universiti Help Datuk Akhbar Satar kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau yang juga penganalisis jenayah berkata ini berikutan sempadan negara amat luas dan sukar untuk dikawal walaupun ada pihak berkuasa yang memantaunya.

“Maka untuk mengatasi masalah ini, pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia, Kastam Diraja Malaysia dan Jabatan Imigresen perlu menambah bilangan anggota bertugas yang berintigeriti di sempadan supaya kegiatan sedemikian (penyeludupan senjata api) dapat dikurangkan.

“Saya mencadangkan kepada kerajaan agar anggota pihak berkuasa yang bertugas menjaga sempadan negara tidak melebihi tempoh tiga tahun dan perlu ditukarkan bagi mengelak mereka menjadi rapat sehingga menerima rasuah untuk bersubahat dengan penyeludup,” katanya.

Akhbar menarik perhatian apabila memberitahu beliau mendapat maklumat ada penjual senjata api di negara jiran yang menawarkan khidmat penghantaran senjata api di mana sahaja lokasi yang diingini selepas ditempah pembeli.

Beliau berkata pembeli senjata api biasanya terdiri daripada anggota kumpulan kongsi gelap, samseng, dan penjenayah khususnya pembunuh upahan melalui penyeludupan di kawasan sempadan seperti di Sungai Golok, Padang Besar, Wang Kelian dan Rantau Panjang.

Mengulas lanjut, Akhbar berkata tidak hairanlah jika kumpulan pengganas Daesh mula menggunakan pembunuh upahan yang telah dirosakkan pemikirannya bagi menyasarkan mangsa yang ingin dihapuskan berikutan tidak sefahaman dengan ideologi mereka.

Akhbar berkata, pembunuh upahan di negara ini terdiri daripada kategori pembunuh upahan separuh profesional iaitu cekap menggunakan senjata api namun mudah dijejaki polis kerana melakukan jenayah itu di khalayak ramai di lokasi yang mempunyai kamera litar tertutup (CCTV) dan saksi yang melihat kejadian.

Realitinya, khidmat pembunuh upahan boleh didapati dengan bayaran serendah RM5,000 hingga ke RM10,000 bagi golongan biasa manakala melebihi RM100,000 untuk golongan VIP berikutan risiko yang tinggi kerana sasaran biasanya dikawal rapi oleh pengawal peribadi, katanya.

“Penembak upahan ini berselindung di sebalik apa sahaja kerjaya malah kebanyakannya menganggur dan kerana itulah mereka sanggup melakukan kegiatan itu kerana mampu memperoleh habuan yang lumayan.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");