Membawang Hari Ini

Lara Alana ada program realiti sendiri

USIANYA baharu dua tahun, namun gelagat si cilik ini mampu ‘memikat’ jutaan pengikut di laman sosial.

Tidak sekadar mengumpul ‘pengikut’, puteri kepada selebriti popular, Awal Ashaari dan Scha Al-Yahya ini turut mencipta sejarah kerana mempunyai program realiti sendiri, Lara Oh Lara.

Situasi itu melayakkan Lara Alana digelar selebriti sekali gus berjaya mengalahkan populariti ibu bapanya.

Menurut Awal, program Lara Oh Lara menyajikan perkembangan harian dan aktiviti anaknya yang belum pernah dikongsi di laman sosial.

“Sebelum ini, ramai yang tidak puas menonton aksi Lara di laman sosial Instagram. Jadi dengan adanya program ini kerinduan peminat terhadap Lara akan terubat.

“Lagi pula, saya ini jenis yang gemar mengambil gambar dan video. Namun, bukan semuanya dimuat naik di laman sosial.

“Kami ada kongsi pelbagai gambar dan video eksklusif yang menarik khas buat penonton program ini.

“Contohnya, paparan aktiviti harian Lara di rumah, sekolah, taman hiburan, percutian ke Jepun dan beberapa lokasi lain,” katanya dalam sidang media program berkenaan, kelmarin.

Bahkan, katanya, hampir 80 peratus pembabitan Lara terdapat di dalam rancangan 13 episod itu.

“Saya dan Scha hanya membantu daripada sudut melayan segala karenah dan aktiviti yang dilakukannya.

“Lagipun, Lara adalah kanak-kanak berusia dua tahun yang belum pandai bercakap dan boleh melontarkan dialog.

“Selain itu, kami juga berkongsi tips berkenaan penjagaan anak,” katanya.

Pada masa sama, katanya, program itu turut menyelami kehidupan warna-warni Lara yang mempunyai sikap ingin tahu, periang selain kisah kehidupan sekeluarga.

“Jujurnya, cabaran menjalani penggambaran untuk rancangan ini agak berbeza.

“Sebelum ini, jika saya berlakon atau mengacara, ia hanya melibatkan diri saya.

“Namun, dalam program ini, ia membabitkan satu kumpulan besar iaitu saya, isteri dan anak serta individu sekeliling seperti pengasuh, pembantu peribadi, ibu bapa termasuklah kucing kesayangan.

“Walaupun ia agak susah dan payah, saya sangat berpuas hati dengan hasilnya,” katanya.

Lebih menarik, katanya, program itu turut menampilkan barisan selebriti tanah air seperti Zizan Razak, Remy Ishak, Dynas Mokhtar, Liyana Jasmay dan Ella yang diberikan tugasan menjadi pengasuh serta mendekati Lara.

Rezeki keluarga

Biarpun Lara perlu melalui proses penggambaran yang panjang, baik Awal mahupun Scha mengakui tidak memaksa tahap keupayaan anaknya itu.

“Saya memang tidak sangka Astro mahu menerbitkan program realiti yang membabitkan anak kami.

“Bukan apa saya bimbang Lara sukar memberi komitmen disebabkan dia masih kecil.

“Namun, kami anggap semua ini sebagai rezeki yang datang bergolek,” katanya.

Pun begitu, sejauh mana juga nama Lara ‘pergi’, Awal dan Scha berjanji tidak akan menidakkan zaman tumbesaran si comel ini.

“Saya hanya ambil yang bersesuaian dan tidak menganggu pembesaran dia seperti kanak-kanak lain,” katanya.

Secara tidak langsung, katanya, kewujudan Lara Oh Lara juga merupakan kesinambungan kepada perjalanan Awal Ashaari dan Scha Al-Yahya.

Malah, katanya, pembabitan Lara dalam program realiti berkenaan turut tidak mengganggu kebajikan anaknya itu.

“Kami beruntung kerana produksi sangat bertolak ansur dengan jadual Lara.

“Malah sepanjang proses rakaman, produksi juga perlu mengikut ‘mood’ Lara.

“Oleh itu, kami akan pastikan Lara cukup tidur dan rehat. Barulah dia boleh menjalankan aktiviti harian dengan baik.

“Atas sebab itu juga, penggambaran mengambil masa sehingga tiga bulan lamanya,” katanya.

Program realiti, Lara Oh Lara bakal mengisi slot eBU dan akan bersiaran pada setiap Rabu, jam 9 malam, bermula 17 Ogos ini.

Ia akan bersiaran menerusi saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123).-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");