Berita Hari Ini

Malaysia atur 2 mesyuarat UNSC sepanjang Ogos

KUALA LUMPUR: Malaysia yang memegang jawatan Presiden Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSC) untuk sepanjang Ogos ini, mengadakan mesyuarat mengenai isu kanak-kanak dan konflik bersenjata, semalam.

Kementerian Luar, dalam satu kenyataan dikeluarkan di sini hari ini, menyatakan isu itu akan dibentangkan Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-Moon menerusi laporan tahunannya untuk dibincangkan oleh negara anggota.

“Antara aspek yang diteliti adalah kemajuan dalam mengukuhkan perlindungan kanak-kanak ketika dilanda situasi konflik bersenjata dan mekanisme untuk menangani pelbagai cabaran mendatang,” menurut kenyataan berkenaan.

Ini kali kedua Malaysia diberi pengiktirafan menyandang jawatan Presiden UNSC sejak dilantik sebagai Ahli Tidak Tetap UNSC bagi tempoh 2015-2016.

“Malaysia akan terus mengetengahkan pendirian kesederhanaan, penyelesaian konflik secara aman, perlindungan orang awam ketika pergolakan dan kedaulatan undang-undang sebagai asas dalam penyelesaian konflik antarabangsa,” menurut kementerian berkenaan.

Malaysia turut bercadang mengadakan Mesyuarat Majlis Keselamatan di peringkat menteri berkaitan pengawalan senjata pemusnah besar-besaran pada 23 Ogos ini.

Mesyuarat itu bertujuan membincangkan pelbagai ancaman dan cabaran semasa bagi mengekang penghasilan senjata pemusnah besar-besaran, selain merangka langkah pencegahan supaya teknologi serta bahan berkaitan tidak jatuh ke tangan pelaku bukan negara.

“Perkara lain yang akan dibincangkan di Majlis Keselamatan PBB yang dipengerusikan oleh Malaysia sepanjang bulan ini, termasuk isu Palestin, Yaman, Syria, Lebanon, Libya, Kosovo, Sudan/Selatan Sudan dan Guinea-Bissau.

“Malaysia akan turut memainkan peranan aktif dalam proses pemilihan Setiausaha Agung PBB yang baharu kerana penggal perkhidmatan Ki-moon dijadualkan tamat akhir tahun ini,” menurut kenyataan berkenaan.

-Berita Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");