Sukan Hari Ini

‘Mereka ini atlet luar biasa…’

Kuala Lumpur: Penaung Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) Tun Jeanne Abdullah menyifatkan atlet paralimpik negara yang akan ke temasya Sukan Paralimpik Rio de Janeiro, Brazil sebagai luar biasa.

“Mereka ini atlet luar biasa, apa saja yang dibuat, mereka lakukan dengan penuh perasaan. Bila tengok air muka, usaha dan kebolehan mereka, kita harus bangga kerana Malaysia mempunyai atlet seperti ini,” katanya.

Jeanne berkata demikian selepas menyempurnakan majlis perhimpunan dan pelepasan kontingen paralimpik negara ke temasya sukan itu di sini, semalam.

Beliau berkata, atlet paralimpik negara harus diberi perhatian sama dengan atlet normal di Sukan Olimpik kerana mereka turut berjuang demi negara dan membawa nama Malaysia.

“Kita sepatutnya berasa bertuah kerana negara ini mempunyai golongan paralimpian yang berbakat dan sebenarnya mereka ini juara di hati kita semua,” katanya yang mengharapkan seluruh rakyat Malaysia mendoakan kejayaan.

Jeanne berkata, beliau juga tidak mahu meletakkan apa-apa sasaran buat kontingen negara pada temasya sukan yang akan bermula pada 7 hingga 18 September ini.

“Saya hanya harap mereka mempamerkan aksi yang bertenaga dan memberikan persembahan terbaik di temasya itu,” katanya.

Beliau turut melahirkan rasa terharu dengan pengumuman Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar untuk turut memberi insentif dan pencen kepada atlet paralimpik yang berjaya meraih pingat di Brazil.

Khairy mengumumkan atlet paralimpik yang berjaya meraih pingat di Brazil, akan menerima elaun bulanan seumur hidup RM5,000 bagi pingat emas, RM3,000 (perak) dan RM2,000 (gangsa).

Sementara itu, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, pemberian insentif berkenaan adalah wajar kerana atlet paralimpik juga berjuang mengharumkan nama negara.

“Bertanding di Paralimpik, sama juga susah seperti Olimpik kerana mereka turut perlu melalui proses kelayakan sebelum mengesahkan tempat ke temasya sukan berkenaan,” katanya.

Seramai 21 atlet menyertai temasya Sukan Paralimpik itu dan antara yang dilihat berpeluang meraih pingat ialah atlet olahraga Abdul Latif Romly, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dan Muhammad Ziyad Zolkefli.

Atlet negara bakal mengambil bahagian dalam lapan daripada 23 jenis sukan iaitu olahraga, berbasikal, powerlifting, memanah, ping-pong, pelayaran, tenis kerusi roda dan renang. – BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");