Berita Hari Ini

Militan: PDRM, IPT kerjasama pantau mahasiswa

SERDANG – Polis Diraja Malaysia (PDRM) bekerjasama dengan institusi pengajian tinggi (IPT) seluruh negara dalam usaha bendung pengaruh militan Daesh dalam kalangan mahasiswa.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, terdapat sebahagian kecil mahasiswa mempunyai kecenderungan menyokong ideologi salah itu.

“Mereka ini menyatakan minat melalui laman sosial Facebook seperti menekan butang ‘Like’ dan ‘Share’ mengenai militan Daesh di laman sosial masing-masing.

“Oleh itu, kumpulan ini kami akan beri penekanan dan beri ceramah awal bagi mengelak mereka daripada terjebak aktiviti militan Daesh ini dengan lebih serius,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan dan Pentauliahan Kor Suksis Universiti Awam SeMalaysia Kali Ke-12 di Universiti Putra Malaysia di sini, hari ini.

Noor Rashid berkata, kumpulan militan Daesh menyasarkan golongan muda untuk direkrut kerana mereka mudah terpengaruh.

“Ancaman Daesh ini betul dan ia berlaku bukan sahaja dalam negara tetapi seluruh dunia, mereka pengaruhi golongan muda melalui Twitter, YouTube dan (kaedah) lain-lain.

“Tangkapan paling muda yang kita peroleh adalah seawal usia 16 tahun dan ini perkara yang perlu kita (polis) beri perhatian,” katanya.

Beliau berkata menurut risikan, kumpulan militan Daesh merekrut pelajar yang berdepan masalah seperti konflik keluarga dan masalah sosial.

Katanya, kerjasama dengan Jabatan Agama Islam negeri juga dipertingkatkan kerana kumpulan Daesh turut menggunakan isu agama untuk mendapatkan pengikut.

“Mereka (militan) menggunakan isu agama (yang dipesongkan) dan perkara ini yang sentiasa diberi penekanan,” katanya.

Pada majlis itu, sebanyak 1,020 pelatih Kor Suksis daripada 19 universiti awam menerima tauliah masing-masing.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");