PASANGAN beregu lelaki badminton negara, Goh V Shem dan Tan Wee Kiong kini menjadi sandaran meraih pingat emas pertama dalam sukan Olimpik untuk Malaysia apabila turun ke gelanggang, malam ini.
Kejayaan luar dugaan V Shem dan Wee Kiong sehingga berjaya menempah tiket ke perlawanan akhir menentang pasangan dari China, Hu Hai Feng dan Zhang Nan sememangnya membanggakan seluruh rakyat Malaysia.
Kini, harapan sekali lagi terletak pada bahu mereka dan mengharapkan pasangan beregu negara itu mencipta sejarah menghasilkan kilauan emas dan lagu ‘Negaraku’ dapat berkumandang di pentas sukan Olimpik.
Sin Chew Jit Poh melaporkan, seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama memberikan kata-kata semangat kepada V Shem dan Wee Kiong sehingga ada yang menanam azam untuk menyanyikan lagu ‘Negaraku’ bersama-sama di kedai mamak sekiranya Malaysia berjaya menggondol emas malam ini.
Selepas V Shem dan Wee Kiong berjaya layak ke final, seluruh rakyat jelata, sama ada rakyat biasa, tokoh korporat mahupun orang kenamaan telah meluahkan perasaan betapa gembira mereka kejayaan yang diraih oleh dua pemain Malaysia ini.
Ketua Pengarah Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes dalam Facebooknya, selain mengucapkan tahniah kepada beregu Malaysia, beliau merasakan kejayaan ini diraikan oleh seluruh rakyat Malaysia.
“Malaysia adalah sebuah negara yang cemerlang kerana kita terdiri daripada pelbagai kaum dan kebudayaan,” tulisnya.
Seorang netizen yang dikenali sebagai Azam pula menulis, pemain kita adalah rakyat Malaysia yang berjuang demi kemenangan dan maruah negara, oleh itu seluruh rakyat sepatutnya memberikan sokongan sepenuhnya kepada pemain negara setiap turun ke gelanggang.
Seorang lagi netizen, Mohd Helmi pula menulis, dia begitu seronok menonton perlawanan siaran langsung melalui televisyen bersama kaum Cina dan India di kedai mamak.
“Semuanya rasa bangga dan menjerit bersama-sama untuk beri sokongan kepada pemain Malaysia,” tulisnya.
Pemandu teksi akui sukar saing
Ramai pemandu teksi mengakui kos yang tinggi yang ditanggung menyebabkan punca mereka sukar bersaing dengan Uber dan Grab Car, lapor China Press.
Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (Spad) yang mengemukakan Program Transformasi Industri Teksi (TITO) baru-baru ini didakwa tidak sesuai untuk perkhidmatan teksi.
Menurut seorang pengusaha di sebuah syarikat perkhidmatan teksi di Lembah Klang ketika dihubungi berkata, pihak kerajaan sepatutnya sedar bahawa pemandu teksi perlu menanggung pelbagai kos sehingga terpaksa mengenakan caj yang lebih mahal berbanding dengan Uber dan Grab Car.
“Sekiranya inginkan perkhidmatan teksi tidak mengenakan caj yang mahal, pihak berkuasa perlulah seragamkan harga Uber dan Grab Car dengan teksi. Uber dan Grab Car yang mengenakan harga tambang yang terlalu murah sememangnya telah menjejaskan rezeki golongan pemandu teksi,” katanya.
Menurutnya, adalah mustahil bagi pemandu teksi menurunkan harga tambang semata-mata mahu bersaing dengan Uber dan Grab Car.
“Kerajaan sepatutnya faham pemandu teksi perlu menanggung pelbagai kos seperti memperbaharui insurans setiap tahun, pemeriksaan kereta di Puspakom setiap enam bulan sekali dan perlu memastikan keadaan teksi sentiasa dalam keadaan baik.
“Semua ini perlu dipatuhi seperti yang disyaratkan oleh kerajaan dan ia juga dibuat demi kebaikan dan keselamatan pelanggan. Program Transformasi yang dicadangkan Spad memang sukar dilaksanakan dan kurang praktikal,” katanya.
Bersih tidak takut Baju Merah
Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah berkata, pihaknya tidak akan membatalkan perhimpunan Bersih walaupun cuba menerima ugutan daripada Kumpulan Baju Merah.
Beliau menegaskan, Bersih tetap tidak berganjak daripada keputusan untuk mengadakan perhimpunan Bersih 5.0 semata-mata kumpulan itu cuba mengadakan perhimpunan pada waktu dan tempat yang sama.
“Semua pihak berhak mengadakan perhimpunan. Biarlah pihak polis mengawal keadaan agar kedua-dua pihak dapat mengadakan perhimpunan dengan aman tanpa berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini,” katanya kepada Guang Ming Daily.-sinar harian