Berita Hari Ini

P.Pinang Mungkin Kehilangan Status Tapak Warisan Dunia Unesco

GEORGE TOWN: Pulau Pinang mungkin akan kehilangan status Tapak Warisan Dunia Unesco akibat gangguan Pelan Induk Pengangkutan Negeri Pulau Pinang, dakwa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Penang Forum.

“Penang Forum telah menghantar 15 helai surat kepada Pusat Warisan Dunia Unesco di Paris, menonjolkan projek yang mungkin memberi kesan negatif kepada nilai sejagat dan sifat-sifat warisan dunia yang terkumpul di George Town.

“Surat itu, bertarikh 23 Jun dan ditandatangani oleh seorang ahli Penang Forum, Dr Lim Mah Hui, mengandungi gambar-gambar dan peta di bawah subjek ‘Tapak Warisan Dunia Melaka dan George Town: Permintaan Misi Penasihat Unesco dan Penilaian Kesan Cadangan Pelan Induk Pengangkutan Negeri Pulau Pinang,” kata Pengurus Besar George Town World Heritage Incorporated (GTWHI) Dr Ang Ming Chee.

Tetapi, Dr Ang berkata surat itu tidak dikemukakan kepada GTWHI atau Jabatan Warisan Negara.

“Kami telah terperangkap dalam keadaan tidak bersedia apabila pusat itu menghubungi Jabatan Warisan Negara meminta penjelasan.

“Satu mesyuarat telah diatur oleh jabatan itu dengan Penang Forum serta GTWHI pada 29 Julai dan Dr Lim bersetuju untuk berkongsi surat itu dengan kami,” katanya pada sidang media di pejabat GTWHI di Lebuh Acheh, Jumaat.

Dr Ang berkata walaupun surat itu disertakan dengan kenyataan, andaian dan cadangan, Dr Lim gagal memetik rujukan yang betul dan sumber bagi dakwaan beliau.

“Jika kita telah dimaklumkan lebih awal mengenai perkara ini, saya mungkin dapat membentangkan laporan itu kepada pusat ketika menghadiri persidangan Unesco di Istanbul, Turki, baru-baru ini,” katanya.

Dr Ang berkata kehilangan status Unesco akan menjadi satu proses yang panjang, dengan pelbagai mesyuarat dan laporan mengenai sebab-sebab yang boleh menggugat kriterianya.

“Surat itu juga menunjukkan bahawa struktur dan peninggalan sejarah telah ditemui di tapak arkeologi Sia Boey.

“Bagaimanapun, masih terlalu awal untuk membuat sebarang andaian kerana laporan dan kerja-kerja berkaitan pelan pengangkutan dan tapak arkeologi masih berjalan,” katanya.

Ketika dihubungi semalam, Dr Lim, yang juga ahli majlis bandar raya berkata beliau akan mengeluarkan kenyataan mengenai perkara itu tidak lama lagi.

Penang Forum adalah gabungan NGO dan kumpulan yang mempunyai kepentingan awam bagi demokrasi, pembangunan mampan, pengangkutan, warisan dan kesedaran alam sekitar di Pulau Pinang.

-mstar

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");