Jenayah

Pemancing hilang ditemui lemas

KOTA BHARU – Kehilangan seorang pemancing selepas bot dinaiki terbalik dipukul arus deras Sungai Kelantan berhampiran Rumah Pam Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada), Ketereh di sini berakhir selepas pasukan penyelamat menemui mayat seorang lelaki pukul 7.45 pagi semalam.

Mayat yang dikenalpasti sebagai Zaini Harun, 38, ditemui kira-kira 150 meter dari lokasi dia dilaporkan hilang dalam keadaan terapung dan masih lengkap berpakaian.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ketereh, Penolong Penguasa Bomba, Mohd Rafai Mat Zain berkata, operasi mencari mangsa bermula pada jam 7.35 pagi sebelum berjaya menemui objek terapung dipercayai mayat Zaini pada jam 7.54 pagi.

“Selepas memulakan operasi kira-kira 15 minit, kami melihat satu objek terapung dan hanyut di tengah sungai berkenaan. Anggota bergegas ke lokasi sebelum mangsa dibawa ke tebing sungai dan disahkan ia adalah mangsa yang hilang sejak Sabtu lalu,” katanya di sini semalam.

Sinar Harian semalam melaporkan, seorang wanita terpaksa melahirkan anak ketujuhnya dalam kebimbangan selepas suaminya yang keluar memancing dikhuatiri lemas apabila bot yang dinaiki terbalik dipukul arus deras Sungai Kelantan berhampiran Rumah Pam Kada, Ketereh di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, Zaini hilang manakala dua rakannya yang merupakan adik-beradik, Mohd Shukri Mat Ali, 32, dan Mohd Riduan, 36 terselamat selepas berpaut pada besi cerucuk di tengah sungai.

Sementara itu, isteri mangsa, Patma Hasan, 32, ketika ditemui di rumahnya di Kampung Dusun Buluh, Ketereh berkata, dia akan menamakan bayi ketujuhnya dengan nama suaminya sebagai kenangan terakhir bersama arwah.

Katanya, dia terkilan arwah suami tidak sempat melihat wajah anak ketujuh mereka.

“Dia seorang bapa penyayang dan rapat dengan anak-anak. Saya buntu memikirkan masa depan kami anak-beranak memandangkan kejadian mengejutkan ini berlaku sekelip mata.

“Kami sekeluarga hidup susah dan hanya mengharapkan pendapatan arwah suami sebagai penjual pisang goreng di pasar tani sekitar Ketereh, ditambah dengan sewa rumah sebanyak RM280 sebulan yang perlu dibayar. Rasa lemah semangat dan hilang tempat bergantung memandangkan tiga anak masih bersekolah,” katanya sebak.

Tambahnya, ramai rakan arwah tegur dengan perubahan sikap Zaini yang semakin kurang bercakap dan tiba-tiba mahu memancing sedangkan dia bukan seorang kaki pancing.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");