Jenayah

Pengasuh dera dirujuk ke Hospital Tanjung Rambutan

KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret Ampang di sini hari ini memerintahkan pengasuh tadika yang didakwa mendera anak angkat perempuannya dirujuk ke Hospital Bahagia Tanjung Rambutan, Perak untuk penilaian kesihatan mental.

Majistret Mohamad Izwan Mohamed Nor memutuskan demikian selepas peguam Samry Masri yang mewakili tertuduh Nor Asiah Mohamed Ali, 48, memohon pemeriksaan mental dijalankan ke atas anak guamnya yang didapati berada dalam kemurungan yang teruk.

“Tertuduh sebelum ini memang pernah mengalami masalah kemurungan dan sekarang ini semakin teruk, pohon mahkamah membenarkan tertuduh menjalani pemeriksaan kesihatan mental untuk menentukan keadaannya,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Zuhaini Mahamad Amin tidak membantah permohonan peguam itu.

Majistret Mohamad Izwan memerintahkan tertuduh menjalani pemeriksaan itu dalam tempoh sebulan dan menetapkan 26 September untuk sebutan semula kes.

Nor Asiah yang memakai jubah hitam dan tudung putih kelihatan sugul ditemani suami dan anak lelakinya.

Pada 20 April lepas Nor Asiah mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mendera anak angkat perempuannya sejak tahun lepas.

Wanita itu sebagai orang yang mempunyai penjagaan ke atas seorang kanak-kanak berusia 5 tahun 11 bulan, didakwa mendera kanak-kanak itu di Tadika An-Nur, No 1, Jalan Bukit Indah 2/17, Taman Bukit Indah, di sini dari 2015 sehingga 8 April 2016.

Dia dituduh mengikut Seksyen 3 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda tidak lebih RM20,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");