Berita Hari Ini

Peranan IPT semarak semangat patriotik

KUALA LUMPUR – Institusi Pengajian Tinggi (IPT) memainkan peranan penting dalam menyemarakkan semangat patriotik dan kemerdekaan dalam kalangan masyarakat di negara ini melalui pendidikan.

Penasihat Sosio Budaya Kerajaan, Tan Sri Dr Rais Yatim berkata, selain menzahirkan semangat tersebut melalui acara sambutan dan perarakan, erti kemerdekaan itu juga perlu dizahirkan dalam bentuk inovasi sistem pendidikan.

“Sarjana kita perlu mewujudkan sistem pendidikan sendiri berdasarkan Islam dan kepentingan masyarakat Malaysia.

“Kita tidak boleh selamanya terikat dengan sistem pendidikan kolonial,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Bulan Kebangsaan Peringkat Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini, hari ini.

Rais yang juga Presiden UIAM berkata universiti berperanan mengingatkan pelajar dan pembuat dasar bahawa perjuangan dalam pendidikan harus selaras dengan kemerdekaan yang telah dikecapi negara.

Katanya pihak berkaitan harus sedar bahawa identiti bangsa Malaysia semakin dijajah dan menjadi cabaran besar untuk menzahirkannya semula.

“Dari segi bahasa, kita memang telah dijajah, tulisan jawi telah mati, akhbar jawi telah tiada, bahasa kita telah caca marba, kita tidak mahu ini berterusan dan menjadi peranan kita mengembalikannya melalui sistem pendidikan kita,” tegasnya.

Sementara itu, majlis sambutan yang diadakan di Pusat Aktiviti UIAM Kampus Gombak itu berlangsung meriah dengan disertai kira-kira 1,000 warga universiti itu.

Turut diadakan perbarisan kemerdekaan oleh warga UIAM yang mewakili jabatan-jabatan serta persatuan kakitangan termasuk kanak-kanak dari Pusat Asuhan Awal Educare UIAM.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");