Sukan Hari Ini

Perjanjian makan tuan

Shah Alam: Juara bertahan Piala Malaysia Selangor mungkin terpaksa membayar harga mahal untuk perlawanan suku akhir Piala Malaysia bertemu skuad ‘adik’, PKNS FC apabila tidak dapat menurunkan ayam tambatan mereka, Patrick Ronaldinho (gambar) bagi aksi Ahad ini.

Ia susulan status Ronaldinho sebagai pemain pinjaman PKNS yang mensyaratkan penyerang Liberia itu tidak boleh beraksi apabila membabitkan pertemuan kedua-dua pasukan sepanjang tempoh dipinjamkan itu.

Menurut sumber dalaman PKNS, berdasarkan perjanjian antara kedua-dua pasukan, kelibat Ronaldinho pastinya terpaksa diketepikan seperti mana dipersetujui pada awal musim ini.

“Itu antara syarat yang kami letakkan dan rasanya mereka (Selangor) sedar akan perkara ini.

“Mungkin ia kelebihan buat PKNS kerana kami mahu mencari kemenangan dan mengulangi kejayaan seperti mana Piala FA apabila mara ke final,” katanya kepada Arena Metro, semalam.

Sekiranya benar dakwaan itu, ia bakal merugikan Red Giants yang sememangnya mengharapkan sentuhan penyerang itu dalam memburu jaringan.

Berdasarkan rekod jaringannya dalam ketiga-tiga saingan tempatan membabitkan Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia, Ronaldinho sudah meledak sejumlah 17 gol sekali gus menjadikan dirinya penjaring terbanyak Selangor musim ini.

Malah, sejak pemecatan Zainal Abidin Hassan selaku pengendali pasukan yang kemudiannya diambil alih K Gunalan, prestasi Ronaldinho secara tiba-tiba melonjak dengan pemain itu sendiri mengakui selesa beraksi di bawah kendalian pengendali baru itu.

Sementara itu, pengurus pasukan PKNS Mahfizul Rusydin Abdul Rashid berkata, pasukannya tetap akan bermain seperti biasa dan tidak melihat ketiadaan Ronaldinho itu sebagai kelebihan buat anak buahnya.

“Saya tidak pasti mengenai isu Ronaldinho itu kerana membabitkan perbincangan antara pihak atasan ketika Selangor hendak mendapatkannya.

“Bagi saya, sama ada Ronaldinho main atau tidak, Selangor tetap bahaya kerana mereka memiliki ramai pemain terbaik negara,” katanya.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");