Membawang Hari Ini

Pie terkenal dengan filem Pulau Mutiara

SEBUT sahaja Pie, pasti fikiran terarah pada susuk lelaki berusia yang begitu sinonim dengan watak sebagai anak jati Pulau Pinang.

Masakan tidak, pelawak dan pelakon veteran ini banyak membintangi filem-filem yang mengisahkan mengenai kehidupan dan budaya di Pulau Mutiara itu.

Namun selepas ini, kita hanya akan dapat melihat filem yang pernah dibintangi pemilik nama sebenar Shafiee Jaafar, 86.

Pie menghembuskan nafas terakhir jam 9 malam kelmarin di rumah anaknya di Teluk Bahang, Balik Pulau, akibat sakit tua.

Mengimbau kerjaya seni lelaki yang mesra disapa dengan panggilan Pak Pie ini, kerjaya seninya bermula apabila berhijrah ke Pulau Pinang selepas menamatkan pendidikan sekolah menengah di Alor Setar, Kedah.

Beliau kemudian mengorak langkah dalam seni boria sekitar 1970-an dan menyertai dunia lakonan menerusi drama dan filem seperti Minah Manja (1984), Bas Konduktor (1986), Dendang Remaja (1988), Jimi Asmara (1995) dan Cinta Rosevilla (1995).

Pie dikatakan ‘merajuk’ seketika dari industri dan kemudiannya menyertai dunia pementasan teater sebelum kembali aktif di layar perak.

Pie kemudian kembali aktif pada 2000 menerusi filem Soal Hati, memegang watak pembantu bernama Pak Lang bergandingan bersama Khatijah Tan, Erra Fazira dan Afdlin Shauki.

Pada 2002, Pie mula aktif dengan filem-filem yang mengangkat kisah masyarakat Pulau Mutiara dan dia juga menjadi antara pelakon kegemaran Profesor Datuk A Razak Mohaideen.

Bersama Razak, Pie membintangi beberapa filem seperti Anak Mami The Movie, Mami Jarum, Mami Jarum Junior, Jutawan Fakir, Tangkai Jering, Lady Boss, Anak Mami Kembali, Nana Tanjung dan Nana Tanjung 2.

Menyelami sikap Tokoh Seni Budaya Negeri Pulau Pinang 2015 ini menerusi Razak, pengarah prolifik itu menyifatkan Pak Pie seorang yang ceria.

“Arwah tidak pernah sombong, dia sentiasa ceria tidak kira dengan orang baharu atau orang lama. Walaupun dia tak sihat, dia tetap ceria.

“Perkara saya paling ingat tentang arwah, dia suka minum air teh ais yang disimpan dalam peti ais, senang kata air teh semalam.

“Dia kata rasa teh ais yang simpan semalaman lebih sedap dari yang baru bancuh,” katanya.

Razak berkata, dia antara pembikin filem yang berjaya memujuk Pie kembali ke layar perak selepas arwah merajuk kerana kerjayanya tidak dihargai.

“Dia pernah beritahu saya tak mahu lagi berlakon kerana merasakan dirinya dan karyanya tidak dihargai.

“Tapi Alhamdulillah dia tidak pernah menolak tawaran saya untuk berlakon filem yang mengisahkan mengenai anak mami.

“Malah ketika dia sudah tidak berapa sihat pun, dia masih sudi terima tawaran dari saya, cuma dia minta saya banyakkan babak duduk untuk dia.

“Bagaimanapun kerana jarak, saya agak susah untuk bertemu dengan arwah,” jelasnya.

Razak berkata, antara perbualan yang masih diingati ketika bersama arwah mengenai penghargaan terhadap insan seni yang telah pergi.

“Arwah pernah berkata, dia tak faham kenapa majlis anugerah sering mengiktiraf insan seni yang telah pergi berbanding yang masih hidup.

“Dia kata kalau dah meninggal buat apa nak bagi anugerah lagi, bagilah ketika insan tersebut masih hidup,” katanya.

Tak suka hotel mahal: Hafiz Hanafiah

Dalam pada itu, pelakon yang juga sering membintangi filem anak mami bersama arwah, Hafiz Hanafiah, menyifatkan kehilangan arwah kehilangan besar industri.

Mengimbau kenangannya dengan arwah, Hafiz berkata, bagi sesiapa yang pernah bekerja dengan arwah, pasti faham dengan permintaan arwah yang lebih gemar duduk di hotel murah, biarpun disediakan bilik hotel lebih selesa.

“Walaupun produksi dah sediakan hotel lima bintang, arwah tetap selesa tinggal di Hotel Merdeka di Kampung Baru dan saya adalah orang yang sering mengambilnya di hotel.

“Arwah kata dia sudah biasa di situ dan ramai kawannya ada di sana,” katanya.

Tambah Hafiz, arwah tidak pernah lokek berkongsi ilmu dan sering mengingatkan dia untuk menjadi diri sendiri.

“Arwah selalu kata; ‘Kalau hang (kau) nak berlakon ke melawak, hang pastikan jadi diri sendiri’. Ayat dia ringkas, tapi itulah yang saya ingat sampai sekarang.

“Ketika dapat tahu arwah meninggal, saya tak percaya dan agak terkejut sehinggalah saya telefon sendiri cucunya untuk mendapatkan kesahihan, baharulah selepas itu saya percaya,” ujarnya yang kali terakhir berlakon bersama menerusi filem Nana Tanjung 2.

Pak Pie di mata Sheila Mambo

Pelakon Sheila Mambo atau nama sebenarnya Rusilawati Hasan sering bergandingan dengan arwah selaku pasangan suami isteri berkata, arwah sensitif.

“Biasa orang yang sudah berusia ini dia ada perangai dia yang tersendiri. Contohnya macam makan tepat pada masa.

“Kadangkala apabila penggambaran berlangsung melepasi masa makan, dia mesti jadi tak ada mood.

“Jadi apabila rehat, saya akan terus ajak dia pergi makan. Selain itu, arwah tak boleh kalau orang ramai di set, dia cepat lupa dialog, jadi saya akan tolong ingatkan dia dan paling penting kami senang membina keserasian walaupun pertama kali bergandingan,” katanya.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");