Berita Hari Ini

Protes #TangkapMO1: Pelajar IPT perlu tumpu kepada pengajian – Idris

KUALA LUMPUR: Golongan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) seharusnya memberi tumpuan kepada pengajian mereka, kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh.

Beliau berkata, walaupun pelajar diberi kebebasan ketika sedang menuntut di peringkat IPT namun mereka perlu menjaga tingkah laku mereka.

“Anda boleh lihat sendiri apa yang berlaku di Universiti Malaya sebelum ini. Adakah tindakan merempuh pintu itu bagus?

“Pelajar diberikan kebebasan namun mereka patut melakukan analisis dan menjaga tingkah laku mereka,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Kongres Kejuruteraan, Sains dan Teknologi Dunia (ESTCON2016) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai penganjuran perhimpunan ‘Tangkap Malaysian Official 1’ (#TangkapMO1) pada 27 Ogos ini di Kota Kinabalu, Sabah dan Kuala Lumpur, yang dianjurkan kumpulan aktivis Gerakan Anak Muda.

Perhimpunan itu mendesak identiti ‘MO1’, yang disebutkan dalam saman sivil Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat, didedahkan dan dibawa ke muka pengadilan.

Selain itu, Idris juga mengingatkan kepada penuntut institusi awam, bahawa kerajaan telah membelanjakan RM16,000 setahun secara purata untuk pelajar.
“Pelajar hanya perlu bayar RM2,000 sahaja setahun. Ada jurang dana awam sebanyak RM16,000.

“Beri tumpuan kepada pembelajaran dan tamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda anda pada masanya. Beri tumpuan kepada pembelajaran, itu nasihat saya,” katanya.-astro awani

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");