Sukan Hari Ini

‘Raja Pecut’ sedia hadapi cabaran luar negara

OLAHRAGAWAN Sukan Malaysia (Sukma) ke-18, Khairul Hafiz Jantan bersedia untuk menggalas cabaran antarabangsa dengan menyertai lebih banyak latihan dan kejohanan di luar negara sekiranya diberi peluang.

‘Raja Pecut’ yang berasal dari Melaka itu berkata langkah itu dapat membantu meningkatkan prestasinya dalam usaha memperbaiki catatan peribadinya.

“Saya sangat gembira dipilih sebagai olahragawan dan berjanji akan buat yang lebih baik. Jika pergi ke luar negara, saya akan mendapat pengalaman yang boleh membantu saya memperbaiki ‘personal best’ saya.

“Saya akan menyertai Kejohanan Olahraga Terbuka Kebangsaan pada September ini dan berharap dapat buat lebih baik daripada 21.03 saat bagi acara 200 meter yang dibuat pada Sukma kerana akan ada lebih banyak pesaing,” katanya dalam sidang media di Putrajaya, semalam.

Khairul Hafiz dipilih sebagai olahragawan terbaik Sukma kali ini berikutan kejayaannya memadamkan rekod 100m kebangsaan 10.30s yang berusia 18 tahun milik bekas pelari pecut kebangsaan, Watson Nyambek, dengan catatan 10.18s pada penampilan sulungnya di Sukma.

Beliau kemudian memecahkan rekod 200m kejohanan milik seorang lagi bekas pelari pecut, Nazmizan Muhammad, 21.33s yang dicatatkan pada edisi 2002 di Sabah, selepas melintasi garisan penamat dalam masa 21.03s.

Pelari paling pantas Kejohanan Olahraga Remaja Asia itu kemudian membantu pasukan Melaka untuk memecahkan rekod kejohanan dalam acara 4x100m lari berganti-ganti dan 4x400m lari berganti-ganti masing-masing dengan catatan 38.89s dan 3:12.66s.

Pelari Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) itu berkata beliau akan meluangkan masa bersama ibu bapanya di rumah mereka di Bukit Katil, selama sehari sebelum kembali melaporkan diri di sekolah.

Beliau sebelum ini menjalani latihan di Poland dan Jerman sejak hari raya kedua sebagai persediaan ke Kejohanan Olahraga Remaja Dunia.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");