Jenayah

Redah api selamatkan dokumen

KUALA TERENGGANU: Seorang warga emas melecur di tangan selepas nekad meredah api yang marak membakar rumahnya semata-mata ingin menyelamatkan dokumen penting milik keluarga, dalam satu kejadian di Kampung Sekati, Manir, di sini, Sabtu lalu.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira jam 8.40 malam itu, usaha Ismail Awang, 70, tidak berhasil apabila tinggal sehelai sepinggang setelah rumahnya hangus terbakar.

Bapa kepada sembilan anak itu berkata, ketika kejadian, hanya dia, dua anak dan seorang cucu berada di rumah manakala lima ahli keluarga yang lain termasuk isterinya, Halimah Muda, 62, keluar menziarahi salah seorang ahli keluarga yang terbabit kemalangan di Gelugor Kedai.

Menurut Ismail, dia terhidu bau hangit semasa menonton televisyen sebelum mengarahkan anak bongsunya, Muhammad Ikhwan Qhusyairi, 20, pergi mencari punca bau hangit itu.

“Kemudian, anak bongsu saya memaklumkan bau hangit itu datang dari salah sebuah bilik menyebabkan kami bergegas keluar menyelamatkan diri.

“Dalam keadaan panik itu, saya bersama dua anak menjerit meminta tolong jiran dan dalam kekalutan itu juga, saya nekad meredah masuk ke dalam rumah untuk menyelamatkan dokumen penting milik keluarga.

“Ketika itu, saya tak fikir langsung fasal keselamatan diri dan dalam kelam kabut itu, tangan saya terkena api yang sedang marak membakar rumah kami,” katanya.

Ismail berkata, dia bernasib baik apabila kejadian menimpa keluarganya cepat disedari jiran berhampiran selepas mendengar jeritan mereka selain bunyi letupan yang kuat datang dari rumahnya.

“Mujur ada jiran yang membantu dengan menghubungi bomba dan memindahkan motosikal yang ada di kawasan rumah.

“Jika tidak, mungkin kejadian lebih buruk akan berlaku,” katanya.

Menurut Ismail lagi, kejadian itu menyebabkan mereka sekeluarga kerugian hampir RM150,000 membabitkan pelbagai barangan berharga termasuk wang tunai, barangan kemas dan peralatan salon rambut milik anaknya yang diusahakan di hadapan rumah sejak 10 tahun lalu.

Katanya, buat sementara waktu, dia dan keluarga tinggal di sebuah inap desa yang ada di kampung berkenaan.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu, Timbalan Penguasa Bomba Che Shaari Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran itu kira-kira jam 8.50 malam.

Beliau berkata, tiga jentera dengan kekuatan 26 anggota masing-masing dari BBP Kuala Terengganu, Kuala Nerus, dan Pasukan Bomba Sukarela Sri Nerus bergegas ke lokasi kejadian.

Jelasnya, hampir 80 peratus kediaman rumah itu sudah terbakar ketika pihaknya sampai di tempat kejadian.

“Api berjaya dikawal jam 9.30 malam dan kita mengalami kesukaran untuk memadamkan kebakaran kerana tekanan air yang rendah.

“Ketika ini, jumlah kerugian dan punca sebenar kejadian masih dalam siasatan,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");