Berita Hari Ini

Segera laksanakan projek RMK11

KANGAR – Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail berharap projek-projek pembangunan yang diluluskan dalam Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11) kepada Perlis dapat dilaksanakan dengan segera.

“RMK11 telah pun diumumkan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) dan Perlis tidak terkecuali mendapat manfaat daripada perancangan lima tahun tersebut.

“Beta berharap supaya projek-projek yang telah diluluskan kepada Perlis dapat dilaksanakan dengan segera dan sebaik mungkin demi kepentingan rakyat,” titah baginda.

Baginda juga mengharapkan rancangan itu mendapat penglibatan menyeluruh dan kerjasama erat antara semua pihak yang terlibat.

“Baik pemimpin politik mahupun agensi kerajaan di peringkat persekutuan dan negeri, pihak swasta, ahli akademik, pemimpin masyarakat dan badan bukan kerajaan adalah amat penting agar pelaksanaannya kelak dapat menghasilkan impak yang besar kepada negeri dan rakyat.

“Beta berharap semua pihak dapat memberi keutamaan dan kerjasama sepenuhnya dalam menjayakan pelaksanaan RMK11. Ketepikan agenda dan kepentingan peribadi, jadikan agenda pembangunan dan kebajikan rakyat Perlis sebagai keutamaan semua,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian sempena perasmian pembukaan penggal persidangan keempat Dun Perlis yang ke-13 di Kompleks Dewan Undangan Negeri Perlis, di sini, semalam.

Pada perkembangan lain, Tuanku Syed Sirajuddin mengharapkan hasrat Perlis menjadi Negeri Bandaraya 2030 dapat dicapai.

“Melalui Rancangan Struktur Negeri Perlis 2030, beta dimaklumkan bahawa komponen-komponen utama adalah projek berdaya maju yang dapat mengubah landskap sosial dan ekonomi negeri, sekaligus memberi impak positif kepada rakyat.

“Beta juga berharap usaha-usaha untuk menarik pelaburan di Perlis ini akan terus digiatkan. Tambahan pula, beberapa projek yang dipohon oleh kerajaan negeri telah pun diluluskan dalam RMK11 seperti Projek Perlis Inland Port dan Projek Pembangunan Lembah Chuping yang melibatkan kos yang begitu besar,” titah baginda.

Justeru, adalah penting bagi agensi bertanggungjawab dan mempunyai kepentingan di dalam projek itu bekerjasama erat dan bantu mempercepatkan pelaksanaan supaya faedahnya dapat dimanfaatkan oleh rakyat.

“Beta percaya terdapat ramai pelabur berminat untuk jana pelaburan di Perlis ekoran pembangunan kawasan Lembah Chuping dan kawasan lain termasuk Kuala Perlis, Pauh Putra, Arau, Kangar dan Padang Besar.

“Beta juga ambil maklum antara projek pelaburan lain yang dirancang bakal mengubah landskap Perlis terutamanya pembangunan bercampur di Kuala Perlis,” titah baginda.

Baginda juga mengambil maklum mengenai projek-projek yang dirancang dan sedang dibangunkan di sekitar Seriab seperti Kangar Sentral, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis, Kangar Jaya dan beberapa bangunan kerajaan lain yang akan beri kesan limpahan dan pertumbuhan ekonomi di Perlis secara keseluruhannya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");