Berita Hari Ini

Serahkan semula pengurusan PPR

PUTRAJAYA – Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan menghantar surat rasmi kepada kerajaan Selangor bagi memohon mengambil alih pengurusan dan penyelenggaran bangunan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di negeri itu.

Menterinya Tan Sri Noh Omar berkata langkah itu merupakan sebahagian daripada transformasi serta pendekatan baharu kementerian dalam pengurusan PPR selepas melihat kegagalan kerajaan negeri dalam menguruskan PPR di Lembah Subang 1.

“PPR merupakan inisiatif kerajaan Persekutuan dalam membantu rakyat tetapi apa yang mengecewakan ada negeri yang gagal menguruskannya dengan baik seperti Selangor.

“Contohnya, PPR Lembah Subang 1 mempunyai lebih 3,000 unit rumah tetapi penghuninya hidup dalam persekitaran bangunan yang tidak bersih dan tidak diselenggara dengan baik sedangkan kutipan sewa dibuat kerajaan negeri,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Noh yang terdahulu menyaksikan pemeterian perjanjian kontrak perolehan dua unit helikopter AW189 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, berkata kementeriannya akan menjadikan PPR Lembah Subang 1 sebagai model kepada negeri-negeri lain dalam merealisasikan transformasi pengurusan bangunan PPR.

Selain Lembah Subang 1, terdapat tiga lagi PPR di Selangor iaitu PPR Lembah Subang 2, Serendah dan Taman Danau di Hulu Bernam dengan jumlah keseluruhan lebih 5,000 unit, katanya.

Noh berkata, selain Selangor, transformasi pengurusan PPR itu akan dibuat secara berperingkat di seluruh negara membabitkan 80,252 unit rumah kecuali Putrajaya dan Labuan.

Berhubung pembelian helikopter Augusta AW189, Noh berkata perolehan aset buatan Itali bernilai RM201 juta yang akan diterima pada Ogos 2017 dan April 2018 itu mampu menawarkan khidmat bantuan udara yang lebih cekap dan berkesan dalam operasi menyelamat dan kebombaan, khususnya di Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata kelengkapan bantuan udara itu akan menjanjikan perkhidmatan menyelamat dan pemadaman kebakaran menjadi lebih cekap dan berkesan tanpa batasan masa dan geografi selain bantuan tujuh helikopter yang dimiliki jabatan ketika ini.

Helikopter yang mampu membawa maksimum 19 penumpang dengan jarak penerbangan sejauh 777,84 kilometer itu juga boleh digunakan dalam memberi bantuan udara kepada agensi lain seperti Kementerian Kesihatan, Majlis Keselamatan Negara dan Jabatan Kemajuan Orang Asli, katanya.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");