Membawang Hari Ini

Serasi gelaran Dottie

Jika pelakon ini memperkenalkan dirinya dengan nama sebenar, Nur Syuhaida Ab Razak, barangkali ada yang tidak mengenalinya, tetapi jika beritahu namanya Dottie, pasti dengan pantas peminat drama Melayu teringatkannya yang bertubuh montel dengan raut wajah comel.

Kekuatan wataknya dalam drama komedi romantik yang diberi judul Dottie terbitan 2011 meninggalkan impak yang besar kepada pelakon itu. Drama itu yang bersiaran di Astro Ria, turut diadakan kuiz dan ia antara sebab mengapa watak Dottie terus diingati sehingga kini.

“Dottie juga adalah lakonan pertama saya jadi mungkin penonton nak tahu siapa saya,” katanya.

Sehingga kini Nur Syuhaida lebih dikenali dengan nama Dottie dalam kalangan peminat dan dia juga senang membahasakan dirinya de­ngan nama watak itu.

“Keluarga panggil saya Aida, tetapi dalam kalangan peminat, rakan baru dan media, mereka lebih akrab menyapa saya dengan nama Dottie dan panggilan itu serasi pula dengan saya.

“Mungkin Dottie itu sendiri seolah-olah memberikan gambaran seseorang yang bertubuh gempal dan ‘comel’ macam saya,” kata­nya sambil ketawa.

Kata Dottie, dia tiada masalah dengan nama itu, malah ia memberi rezeki kepadanya dalam bidang lakonan.

Menurutnya, ada juga yang menegur tubuh montelnya itu, tetapi dia tidak menganggapnya sebagai ejekan atau cemuhan, malah ia memberi kesedaran kepadanya untuk mengurangkan berat badan demi kesihatan.

“Saya tidaklah kata bertubuh montel ini ‘awesome’ dan saya memang berikhtiar mengurangkan berat badan. Meskipun tidak ramping, tetapi cukuplah sekiranya saya dapat menurunkannya dalam 10 sehingga 20 kilogram untuk menjaga kesihatan. Sekarang berat saya 86 kilogram.

“Sebelum ini, saya pernah dilantik menjadi duta produk pelangsingan badan selama setahun dan saya berjaya menurunkan berat badan 10 kilogram dan peminat pun nampak perubahan tubuh saya.

“Saya juga mengamalkan diet sihat mengurangkan makanan berlemak dan bergoreng. Memang badan terasa ‘ringan’ tetapi selepas tidak lagi menjadi duta produk terbabit dan tidak ‘menjaga’ makan, badan saya ‘naik’ semula,” katanya yang berazam akan berdiet semula.

Kata Dottie lagi, sejak kanak-kanak tubuhnya memang montel. Dottie juga bersyukur kerana dia tidak pernah menghidap sebarang penyakit kerana dia seorang yang aktif dan rajin bersenam seperti ‘berjalan’.

“Tak langsing pun tak apa, asalkan sihat dan senang bekerja,” katanya.

Bercakap soal kerjaya, kata Dottie, memilik tubuh sepertinya, seperti sudah satu kemestian apabila pelakon bertubuh montel ditawarkan watak komedi. Namun, Dottie tidak pernah terasa hati jika itu sudah rezeki dan dia buat kerana berlakon adalah kerjanya.

“Pun begitu adakala bukan 100 peratus jalan ceritanya komedi. Ada yang ceritanya biasa saja, tetapi karektor yang saya bawakan itu nampak seperti komedi.

“Saya pernah bawa watak orang gaji, ibu dan pelajar sekolah. Bagi menghayati setiap watak, saya tidak pernah terlalu memaksa diri untuk melakonkannya, tetapi melakukannya secara ‘semula jadi’.

“Walau apa pun, saya bersyukur tawaran berlakon terus ada dan kini bertambah yakin berada dalam industri apabila kerjaya seni saya sekarang diuruskan syarikat penerbitan Global Solution Resources (GSR).

“Sebelum ini, saya bergerak sendiri tetapi sekarang jadual kerja saya lebih teratur kerana ada pengurus yang menjaganya. GSR juga antara syarikat produksi yang aktif menerbitkan drama dan menghasilkan banyak program Travelodge,” katanya yang akan mencuba jadi pengacara pula.

Terbaru, Dottie turut berlakon dalam filem terbitan GSR, Surf This Love, memegang peranan sebagai kakak kepada watak hero lakonan Shukri Yahaya.

Filem yang turut dilakonkan Christina Suzanne, akan menjengah pawagam awal tahun depan.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");