ALOR SETAR – Semua pihak disaran anjurkan solat hajat dan munajat secara besar-besaran di seluruh negara sebagai usaha menangani kemelut negara, sempena sambutan kemerdekaan.
Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas Kedah, Nurul Amin Hamid berkata, ia juga sebahagian daripada usaha menuntut keadilan susulan situasi negara kini yang sarat dengan pelbagai isu dan permasalahan, terutama melibatkan imej negara.
“Isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta dakwaan Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat bimbangkan rakyat,” katanya.
Sehubungan itu, pihaknya menyarankan solat hajat diadakan bagi memohon kepada ALLAH SWT memberikan petunjuk dan penyelesaian kepada kemelut yang melanda negara.
“Kita hendaklah kembali kepada ALLAH SWT dan syariatNya, laksanakan solat adalah jalan penyelesaian yang menjadi pilihan utama yang perlu difahami setiap lapisan kepimpinan masyarakat yang majoritinya beragama Islam,” katanya.
Nurul Amin berkata, ini jelas ditegaskan dalam panduan al-Quran yang menyebut ‘Hai orang-orang yang beriman, jadikanlah sabar dan shalat sebagai penolongmu, sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar. (Al Baqarah :153).
“Kami senada dengan pimpinan Pas Pusat berdoa dan berjuang agar kedaulatan negara terpelihara dan pada masa sama bertegas menolak korupsi dan skandal 1MDB. Kami berharap pimpinan negara menyedari jika korupsi bermaharajalela, kedaulatan negara menjadi cagaran selain memperjudikan masa depan generasi akan datang,” katanya.
Menurutnya, pihaknya juga menyarankan agar kerajaan dan semua agensi kerajaan bersederhana dan berhemah dalam berbelanja sempena sambutan Hari Kemerdekaan kerana rakyat kini dihimpit pelbagai kos sara hidup tinggi selain keadaan ekonomi negara yang tidak menentu.
“Tentunya kami menyokong semangat patriotisme, namun hendaklah bercorakkan kedaulatan negara, mengamalkan agama dan berakhlak, berjimat cermat, mensejahterakan rakyat dan kemakmuran negara sebagai teras,” katanya.
-Sinar Harian