Sukan Hari Ini

Sukma 2016 penuh drama, sarat aksi

EDISI ke-18 Sukma yang menawarkan sejumlah 385 pingat emas menutup tirainya secara rasmi, kelmarin selepas 12 hari yang penuh drama dan aksi.

Majlis penutupan yang disaksikan lebih 40,000 penonton berlangsung gilang-gemilang di Stadium Sarawak.

Temasya kali ini boleh dibanggakan jika dilihat dari segi prestasi atlet yang cukup baik dengan mencipta enam rekod kebangsaan dan 57 rekod Sukma berjaya diperbaharui.

Untuk rekod, Sukma 2010 di Melaka masih mengekalkan pencapaian terbaik dari segi prestasi atlet dengan 15 rekod kebangsaan dan 88 rekod Sukma berjaya dipecahkan.

Pencapaian cemerlang pada Sukma Sarawak menjadi medan terbaik untuk MSN mempersiapkan kontinjen terbaik negara bagi menghadapi Sukan Sea yang bakal dihoskan negara ini pada 2017.

Raja Pecut baharu negara, Khairul Hafiz Jantan dari Melaka atlet paling menyinar selepas memecahkan rekod 18 tahun acara 100 meter lelaki dengan catatan 10.18 saat, sekali gus memadam rekod terdahulu, 10.30s yang dicipta bekas pelari pecut kebangsaan, Watson Nyambek dari Sarawak pada 1998.

Khairul Hafiz turut memperbaharui rekod Sukma dalam acara 200m (21.03s) serta membantu kuartet Melaka mencipta rekod Sukma dalam acara 4x100m (39.89s) dan 4x400m (3:12.66s).

Tidak kurang juga kehebatan atlet Majlis Sukan Negeri, Nur Aqilah Yusof yang dinobatkan Olahragawati Sukma ke-18 selepas meraih tiga pingat emas dan dua gangsa pada temasya kali ini dan memperbaharui rekod kebangsaan 328 mata milik Mon Redee Sut Txi dalam acara 70m recurve wanita yang dilakukan pada Sukan Sea Vietnam 2003 dengan catatan baharu 331 mata, sekali gus rekod baharu Sukma.

Daripada segi penganjuran, Sukma kali ini dianjurkan dalam keadaan teratur dan sistematik walaupun berlaku sedikit kekecohan di gelanggang bola sepak dan di arena pencak silat.

Untuk rekod, tuan rumah Sukma ke-19, Perak mempunyai masa dua tahun lagi mempersiapkan diri sebagai tuan rumah Sukma 2018.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");