Berita Hari Ini

Tabung Haji bantu 50 jemaah terpilih operasi Masya’ir

MAKKAH – ARAB SAUDI. Lembaga Tabung Haji (TH) melalui unit kaunseling di sini akan memilih 50 jemaah haji bagi membantu mereka ketika operasi Masya’ir iaitu di Arafah, Muzdalifah dan Mina sewaktu menunaikan haji.

Pengurus Kaunseling bagi operasi haji musim ini, Fauziah Ahmad berkata, mereka terdiri daripada 25 jemaah lelaki dan 25 jemaah wanita yang dipilih melalui satu temuduga pemilihan.

“Antara kriteria pemilihan ialah jemaah itu mesti berumur 70 tahun ke atas, datangnya berseorangan dan uzur termasuk yang kadang kala mengalami hilang ingatan.

“Ketika operasi Masya’ir itu mereka akan dijaga oleh setiap petugas kita yang akan membantu semua urusan di Arafah, Muzdalifah dan Mina seperti memandikan mereka, menjadi wakil melontar yang kemudiannya membantu menyelesaikan tawaf dan saei sebelum menyerahkan semula ke maktab (penginapan) mereka,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Fauziah berkata pihaknya buat masa ini belum bercadang untuk menambah bilangan warga emas itu berdasarkan keadaan tempat semasa operasi masya’ir itu.

Beliau berkata, selain itu pihaknya juga akan memberi bimbingan kaunseling kepada jemaah yang suami atau isteri meninggal dunia ketika di Tanah Suci.

“Kita akan ambil tindakan segera terutama kepada isteri yang suaminya meninggal dunia kerana mereka ada edahnya dan akan membimbingnya,” katanya.

Fauziah berkata, pihaknya juga akan melihat keadaan persekitaran waris berkenaan seperti rakan-rakan sebilik sama ada membantunya atau tidak sebelum mengambil langkah selanjutnya.

Sementara itu beliau berkata sehingga kini sebanyak 29 kes telah dirujuk kepada unit itu yang kebanyakannya membabitkan masalah emosi berkaitan rakan sebilik.

“Unit ini sentiasa membuat lawatan ke bilik dan setiap masalah akan dirujuk kepada tujuh kaunselor terlatih,” katanya. Beliau berkata kaunselor berkenaan selain petugas TH, unit itu juga dibantu kaunselor daripada Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");